Ali Biju berkempen, minta pengundi pilih calon GPS

Ali ketika sidang media mengenai keputusan menarik diri daripada bertanding dalam PRN Sarawak di Pusat Khidmat Parlimen Saratok pada Jumaat. - Foto Bernama
Ali ketika sidang media mengenai keputusan menarik diri daripada bertanding dalam PRN Sarawak di Pusat Khidmat Parlimen Saratok pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SARATOK - [DIKEMASKINI] Setelah mengumumkan penarikan diri daripada bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian semalam, Datuk Ali Biju hari ini berkata, beliau akan berkempen secara aktif bermula Ahad bagi membantu calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Naib Pengerusi Bersatu Sarawak itu berkata, beliau akan menerangkan kenapa langkah untuk berundur daripada pilihan raya berkenaan dibuat, agar pengundi dan penyokong tahu bahawa keputusan itu adalah bagi kebaikan semua pihak.

”Saya akan ke kampung-kampung dan setiap rumah panjang dan terangkan kepada pengundi supaya tidak perlu pangkah saya, pangkah calon GPS. Ini saya akan buat semasa saya berjumpa pengundi di peringkat akar umbi,” kata Ali, yang merupakan penyandang kerusi Krian, pada sidang media di sini pada Jumaat.

Pada Khamis Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, keputusan itu adalah bagi memelihara muafakat serta memperkukuh hubungan antara Perikatan Nasional (PN) dan GPS.

Semasa penamaan calon pada Isnin, Ali membuat kejutan apabila tampil bertanding sebagai calon Bebas di Krian, bertentangan dengan pendirian Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memutuskan parti itu tidak bertanding pada PRN kali ini, sebaliknya memberi sokongan kepada GPS.

Walaupun nama Ali secara rasminya masih akan tersenarai di kertas undi nanti, pertandingan sebenar bagi merebut kerusi DUN Krian kini membabitkan calon GPS, Friday Belik, Musa Dinggat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Danny Kuan daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Selaras dengan keputusan itu, Ali yang juga Ahli Parlimen Saratok turut merayu agar penyokongnya selama ini memberi sokongan kepada calon GPS.

“Kita kena tenangkan penyokong saya yang selama ini setia selama 10 tahun, dan dengan kenyataan baik dan bermakna, maka saya rasa penyokong-penyokong saya boleh menerima, iaitu kita memberi laluan kepada GPS dan menyokong calon GPS di Krian,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Artikel Berkaitan:

Ali merupakan penyandang kerusi DUN Krian selama dua penggal apabila meraih undi terbanyak pada PRN 2011 dan 2016 ketika mewakili PKR. Pada 2016, beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Kilat Beriak dengan majoriti 1,640 undi.

Ditanya jika beliau tetap menang di kerusi berkenaan memandangkan namanya masih terpapar dalam kertas undi, beliau berkata: “Ia hanya spekulasi.”

Ali sebaliknya optimis dan yakin dengan sokongan kepada calon GPS menerusi kempen nanti, parti itu mampu memenangi kerusi berkenaan.

“Kemenangan GPS juga adalah kemenangan saya, kalau GPS menang saya juga menang,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini berkata, calon tidak boleh menarik diri selepas penamaan calon pada jam 10 pagi seperti yang termaktub di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

Dengan pengorbanan yang dilakukannya itu, Ali turut berharap agar GPS memberikan laluan kepada Bersatu untuk bertanding di Parlimen Saratok, yang turut disandangnya, pada Plihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Sementara itu, Mohamed Azmin turut menzahirkan penghargaan kepada Ali atas pengorbanannya demi memperkukuhkan hubungan akrab antara GPS dan Bersatu di peringkat Persekutuan. - Bernama


Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my