Tarik diri bukti Ali Biju seorang pemimpin berjiwa besar

Datuk Wan Saiful Wan Jan
Datuk Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

SHAH ALAM - Penarikan diri Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Datuk Ali Biju membuktikan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu seorang pemimpin berjiwa besar dan menghayati matlamat besar politik nasional.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, keputusan tersebut merupakan satu pengorbanan Ali dan parti demi memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang selesa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

“Saya ucapkan terima kasih dan tahniah kepada Datuk Ali Biju yang telah mengumumkan menarik diri daripada bertanding di DUN Krian. Kita sedia maklum bahawa Ali mempunyai sokongan yang kuat di tempat beliau.

“Penarikan diri ini adalah satu pengorbanan oleh beliau dan Bersatu demi untuk memastikan GPS menang dengan selesa dalam PRN Sarawak,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Wan Saiful juga berharap semoga pengorbanan tersebut akan memperkukuh hubungan Perikatan Nasional (PN) dan GPS termasuk melangkah ke arah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, Ali yang juga Ahli Parlimen Saratok membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding pada PRN Sarawak kali ini.

Keputusan itu diumumkan oleh beliau dalam satu kenyataan media pada Khamis dipercayai demi menjaga hubungan baik antara Bersatu dan GPS.

Menurut Ali, beliau menawarkan diri sebagai calon DUN Krian dalam PRN Sarawak ke-12 setelah mengambil kira pandangan dan desakan pimpinan masyarakat serta pengundi di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan: