King Sing nafi isu beli undi libatkan dirinya

Tiong King Sing
Tiong King Sing
A
A
A

KUCHING - Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing menafikan isu beli undi yang melibatkan dirinya seperti yang tersebar di laman media sosial baru-baru ini.

Beliau yang bertanding atas tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong itu menegaskan bahawa pihaknya tidak menggunakan taktik kotor seperti itu demi memenangi kerusi tersebut.

“Apabila saya melawat Dudong, saya terkejut apabila ditanya mengenai pemberian mesin rumput dan peralatan lain kepada penduduk di sana. Cerita ini sudah mula tersebar.

“Ada daripada penduduk menunjukkan mesej mengenai setiap pintu di rumah panjang tersebut akan mendapat RM1,000 sekiranya meletakkan nama untuk menyokong saya.

“Saya tegaskan di sini, untuk kaum Melayu, Iban, Cina yang berada di Dudong, mesej tersebut bukan daripada saya ataupun daripada parti GPS,” katanya menerusi laman media sosial beliau.

Jelas King Sing, sokongan yang diperolehnya selama lima penggal menjadi Ahli Parlimen Bintulu adalah hasil daripada penilaian rekod prestasi beliau terhadap masyarakat di kawasan tersebut.

“Saya sudah lama bertanding di Parlimen Bintulu sebelum ini dan saya tidak pernah beli undi daripada rakyat.

"Saya mahu rakyat menyokong saya atas khidmat bakti yang telah saya berikan, bukan melalui beli undi.

Artikel Berkaitan:

“Kegiatan beli undi ini sama seperti rasuah, kita di GPS tidak mengamalkan perkara seperti ini kerana ia sesuatu yang salah dan tidak beretika,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar penduduk di DUN Dudong tidak terperdaya dengan tipu helah yang cuba untuk menjatuhkan nama baiknya itu dan berharap agar tindakan keras akan dikenakan terhadap si pelaku.

DUN Dudong menjadi kerusi paling panas bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak kali ini apabila menyaksikan pertembungan lapan penjuru.

King Sing yang mewakili GPS akan ditentang oleh Paul Ling Fung daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), Wong Hie Ping daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Josephine Lau Kiw Peng daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), Julius Enchana daripada Parti Bansa Dayak Sarawak Bersatu (PBDSB), Jane Lau Sung Yee daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) serta dua calon Bebas iaitu Engga Uncat dan Fadhil Mohd Isa.


Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my