NGO anjur perhimpunan aman desak kelonggaran SOP di masjid

Perhimpunan yang berlangsung selama 20 minit selepas solat Jumaat itu bagi mendesak kerajaan benarkan jemaah menunaikan solat dalam keadaan saf yang rapat. - Foto Astro Awani
Perhimpunan yang berlangsung selama 20 minit selepas solat Jumaat itu bagi mendesak kerajaan benarkan jemaah menunaikan solat dalam keadaan saf yang rapat. - Foto Astro Awani
A
A
A

BAYAN LEPAS - Beberapa pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) Islam di Pulau Pinang mengadakan perhimpunan aman di Masjid Al-Mustaghfirin Sungai Tiram, di Bayan lepas, hari ini, meskipun tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Perhimpunan yang berlangsung selama 20 minit selepas solat Jumaat itu bagi mendesak kerajaan membenarkan jemaah menunaikan solat dalam keadaan saf yang rapat.

Menurut jurucakap Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang (Pajim), Azmi Jaafar, perhimpunan diadakan bersama Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang selepas mengambil kira beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) seperti kebenaran rentas negeri, pembukaan semula pusat beli belah dan lain-lain.

"Hari ini kita beri tekanan kepada kerajaan untuk pastikan benda ini dikaji semula untuk rapatkan saf seperti biasa. Kalau benda lain boleh biar (kelonggaran) seperti pergi melancong, hadir perlawanan bola sepak di stadium, jadi apa salahnya solat dibenar rapat saf," katanya ketika perhimpunan disertai lima wakil NGO.

Azmi berkata, pihaknya akan mengadakan perhimpunan secara mingguan berhubung isu berkenaan.

Katanya, pihaknya juga akan menghantar memorandum kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, minggu depan.

Memorandum berkenaan di Pejabat Kerajaan Negeri, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) minggu depan.

Pada Khamis, Polis Pulau Pinang memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan di Masjid Al-Mustaghfirin Sungai Tiram, di Bayan Lepas selepas solat Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya akan meneliti perkara tersebut sebelum mengambil tindakan selanjutnya ke atas pihak yang menganjurkan perhimpunan tersebut.

Tindakan boleh dikenakan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012; Akta Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit berjangkit (Pengkompaunan Kesalahan) (Pindaan) (No 11) 2021 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini tular video berdurasi 1 minit 44 saat di laman sosial yang meminta orang ramai supaya hadir ke perhimpunan itu bagi mendesak Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) supaya membenarkan jemaah menunaikan solat dalam keadaan saf yang rapat.

Menerusi video berkenaan, seorang individu yang mendakwa mewakili NGO, meminta orang ramai supaya hadir ke perhimpunan itu mengikut SOP yang ditetapkan. - Awani