1MDB: Hanya sesuai sebagai tajuk sampingan Sejarah

image-(5)
image-(5)
A
A
A
SHAH ALAM - Skandal 1MDB hanya sesuai dijadikan tajuk sampingan dalam mata pelajaran Sejarah dan ia perlu dinaungi dengan topik yang lebih utama.

Pakar Rujuk Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Datuk Dr Firdaus Abdullah berkata, topik utama berkisar kepada usaha kerajaan membanteras rasuah kemudian disusuli dengan topik sampingannya iaitu isu skandal 1MDB.

Menurutnya, dalam masa yang sama jangan terlalu memberi fokus kepada skandal 1MDB, kerana ada banyak peristiwa lain yang boleh dikaitkan dalam usaha Kerajaan menangani kemelut rasuah.

“Boleh buat (1MDB dimasukkan dalam silibus mata pelajaran Sejarah) tapi itu bukan tema atau tajuk utamanya dan isu ini patut dihuraikan dengan cara yang beretika.

“Apatah lagi sekarang ini, terlalu banyak persoalan dan dasar mengenai 1MDB yang belum diputuskan lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bakal memasukkan skandal 1MDB ke dalam silibus mata pelajaran sejarah Malaysia sebagai usaha kementeriannya memastikan kesalahan tersebut tidak diulang generasi akan datang.

Firdaus berkata, dalam membuat silibus mata pelajaran Sejarah, janganlah dipengaruhi oleh pertimbangan yang spekulasi tapi mestilah dengan dasar yang konkrit.

“Jelas, Menteri mahu menanamkan nilai murni dalam sistem pendidikan namun bukan hanya perlu memandang isu 1MBD semata-mata,” katanya.

Walau bagaimanapun Firdaus menyifatkan Maszlee sebagai impulsif berikutan cadangannya yang mahu memasukkan skandal 1MDB dalam mata pelajaran Sejarah.
Artikel Berkaitan:


“Saya nampak kecenderungan Menteri Pelajaran yang baharu terlalu impulsif. Walaupun secara prinsipnya saya menyetujui apa yang tersirat di hatinya, tapi saya rasa dia memberi reaksi yang terlalu impulsif.

“Beliau sepatutnya, berfikir sebelum bercakap, bukannya segala yang terfikir dicakapkan,” katanya.

Firdaus menambah, ini antara kesilapan yang dibuat Maszlee, perkara lain yang patut difikirkan untuk silibus Sejarah adalah isu yang betul-betul bersifat nasional.

“Cadangannya yang mahu memasukkan skandal 1MDB dalam silibus mata pelajaran Sejarah, saya rasa itu terlalu remeh,” katanya.