Stok kertas habis, pengeluaran sijil kelahiran di Sabah tertangguh

Tular di media sosial beberapa individu mengeluh kerana telah menunggu lama namun tidak dapat mencetak sijil kelahiran anak mereka. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
Tular di media sosial beberapa individu mengeluh kerana telah menunggu lama namun tidak dapat mencetak sijil kelahiran anak mereka. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengeluaran sijil kelahiran di Sabah tertangguh disebabkan kertas yang digunakan untuk mencetak dokumen berkenaan telah habis, kata Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, Khairrul Aminus Kamaruddin.

Beliau berkata, stok kertas sijil kelahiran JPN Sabah pada tahun ini adalah sebanyak 24,801 keping namun terputus bekalan dan kehabisan stok pada awal Oktober lepas.

"Setakat ini, sijil kelahiran yang tertangguh atau menunggu stok untuk cetakan adalah kira-kira 3,200 permohonan. Kelewatan pengeluaran sijil lahir berkenaan adalah disebabkan kekurangan bekalan sijil ekoran bekalan kertas yang digunakan adalah diimport daripada pengilang di China.

“Kelewatan bekalan kertas tiba di Malaysia disebabkan kejadian banjir di negara berkenaan baru-baru ini. Semakan mengesahkan bekalan kertas berkenaan sudah tiba di negara ini dan melepasi pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 6 Disember lepas," katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial beberapa individu dari negeri ini mengeluh kerana telah menunggu lama namun tidak dapat mencetak sijil kelahiran anak mereka.

Khairrul Aminus berkata, kertas berkenaan sudah diterima oleh syarikat percetakan pada 8 Disember bagi proses cetakan sijil kelahiran dan kertas sijil lahir berkenaan, dijangka sampai ke seluruh Sabah serta boleh dikeluarkan selewat-lewatnya 20 Disember nanti.

“JPN ingin memohon maaf atas kelewatan dan kesulitan yang berlaku...ia adalah di luar kawalan JPN.

"Sekiranya terdapat pelanggan yang terkesan atau memerlukan surat pengesahan kelahiran daripada JPN, sebagai contoh untuk tujuan penerbangan ke Semenanjung Malaysia atau Sarawak, bolehlah memohon di JPN," katanya.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pejabat Perkhidmatan Pelanggan (PPP), JPN Negeri Sabah di talian 088-488300 atau 088-488301 atau 088-488365. - Bernama