Semua ADUN Perak diberi peruntukan sama rata

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Belanjawan 2022 Perak yang dibentangkan pada Jumaat menetapkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini termasuk pembangkang menerima peruntukan sama rata dengan nilai keseluruhan sebanyak RM25 juta.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setiap ADUN termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan sebanyak RM300,000 merangkumi RM100,000 dalam bentuk 'outright grant' (OG) dan RM200,000 dalam bentuk projek-projek kecil untuk masyarakat melalui Program Pemantapan Infrastruktur Bagi Memacu Kesejahteraan (Pemacu).

Beliau berkata, peruntukan untuk setiap Exco Kerajaan Negeri pula ditambah sebanyak RM200,000 lagi iaitu RM100,000 dalam bentuk OG dan RM100,000 dalam bentuk kerja-kerja pembangunan untuk manfaat rakyat dan boleh dibelanjakan merentasi kawasan DUN masing-masing.

"Suasana ketidaktentuan ekonomi tentunya menguji kecekalan ahli-ahli Yang Berhormat di dalam dewan ini untuk menyantuni keluh tangis rakyat yang berdepan pelbagai kesukaran. Selain kaunter pejabat kerajaan, pusat khidmat wakil rakyat adalah antara tempat paling awal dikunjungi rakyat untuk mengadu masalah.

"Memahami hakikat itu dan mengambil kira luahan pendapat ahli-ahli Yang Berhormat dalam sesi libat urus Dialog Belanjawan 2022, maka kerajaan negeri bersetuju meluluskan peruntukan kepada ADUN-ADUN Perak," katanya ketika membentangkan membentangkan Belanjawan 2022 Perak Darul Ridzuan ketika Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-14 di sini pada Jumaat.

Saarani berkata, setiap Pusat Khidmat ADUN pula diperuntukkan sebanyak RM84,000 setahun iaitu kenaikan sebanyak RM2,000 sebulan.

Beliau berharap dengan penambahan peruntukan tersebut, semua ADUN dapat memberikan perkhidmatan lebih cekap dan berkesan.

Kerajaan negeri Perak pada Jumaat mengumumkan Belanjawan 2022 Perak Darul Ridzuan berjumlah RM1.1 bilion di bawah tema yang sama pada tahun lalu iaitu Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif.

Artikel Berkaitan:

Peruntukan belanjawan tersebut mengalami penyusutan berbanding belanjawan yang diumumkan pada tahun lalu sebanyak RM1.215 bilion.