Polis cadang waris perarakan kematian guna helikopter dikompaun

Tular video penganjur dan waris mendiang yang terlibat dalam perarakan kematian menggunakan helikopter dan kuda di Little India.
Tular video penganjur dan waris mendiang yang terlibat dalam perarakan kematian menggunakan helikopter dan kuda di Little India.
A
A
A

KAMPAR - Penganjur dan waris mendiang yang terlibat dalam perarakan kematian menggunakan helikopter dan kuda di Little India, Ipoh pada 27 November lepas dicadang dikenakan kompaun atas kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya mencadangkan kompaun dikeluarkan di bawah Akta 343 kerana melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, tiada sebarang kebenaran diperoleh daripada pihak berkuasa sama ada polis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional mahupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengadakan perarakan itu.

"Kertas siasatan sudah dilengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan kita cadang agar penganjur serta waris mendiang dikenakan kompaun kerana melanggar SOP.

"Bagaimanapun, terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk bersetuju dengan cadangan itu atau tidak," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Kampar dan Pengerusi PERKEP Daerah Kampar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, turut dicadangkan adalah saman kesalahan trafik ke atas penunggang-penunggang kuda yang menyertai perarakan itu di bawah Kaedah 24, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan LN166/59.

"Adalah menjadi satu kesalahan membawa kuda di atas jalan raya, kerana itu kita cadangkan penunggang-penunggang kuda ini juga diberikan saman di bawah kesalahan trafik," katanya.

Mior Faridalathrash sebelum ini memaklumkan, tujuh individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung kes itu iaitu juruterbang helikopter, wakil dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), pengurus mayat, pengurus syarikat acara, waris keluarga, pemilik kuda serta pemilik helikopter berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Daripada siasatan yang dijalankan, helikopter yang melakukan penerbangan rendah pada perarakan itu mempunyai kebenaran daripada CAAM.

"Pihak CAAM masih mengenal pasti kesalahan yang dilakukan oleh pemilik helikopter dan juruterbang terlibat," katanya lanjut.

Dalam majlis itu, Superintendan Mohamad Nazri Daud dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kampar yang baharu menggantikan Superintendan Hasron Nazri Hashim yang bertukar ke Seksyen Pelaksanaan dan Pemantauan Urusetia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman.

Mohamad Nazri, 47, sebelum ini bertugas di Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (D3) (MAPO/Hubungan Antarabangsa) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Turut diadakan majlis serah terima tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kampar antara Norazlina Ya'acob dengan Tengku Azlawati Tengku Muda dengan disaksikan Pengerusi PERKEP negeri, Datin Nor Qhadhijah Abdul Wahab.

ARTIKEL BERKAITAN: Perarakan kematian guna helikopter, kuda: 7 lelaki dirakam percakapan