PRN Sarawak: Snowdan masih 'bernafsu'

Snowdan Lawan
Snowdan Lawan
A
A
A

KUCHING - Meskipun telah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin selama tiga penggal, namun Datuk Snowdan Lawan masih 'bernafsu' untuk membawa lebih banyak perubahan di kawasan yang terletak dalam tiga daerah pentadbiran berbeza itu.

Dalam misi mempertahan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), beliau sudah merangka pelbagai visi termasuk menukar status Daerah Kecil Pantu kepada daerah penuh suatu hari nanti.

Bercakap kepada Bernama, Snowdan berkata, DUN Balai Ringin sangat unik kerana terletak dalam Daerah Serian, Simunjan dan Sri Aman yang memerlukan beliau melakukan perancangan yang betul bagi memastikan setiap matlamat dapat dilaksanakan dengan baik.

"Saya sudah membuat analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, peluang serta ancaman) dan mengenal pasti tujuh sektor utama iaitu pendidikan, belia dan sukan, ekopelancongan, kraf tangan, pertanian, peladangan serta penternakan yang akan terus diberi perhatian sekiranya sekali lagi dipilih pada PRN12 ini," katanya.

Masih segar dengan kejayaan menjadikan Balai Ringin sebagai Daerah Kecil baru-baru ini, beliau mula berkira-kira untuk membawa cadangan supaya Daerah Kecil Pantu pula ditukar status sebagai daerah penuh.

"Apabila menjadi daerah penuh, Pantu akan memperoleh peruntukan sendiri seterusnya memudahkan segala urusan pembangunan di kawasan itu dilaksanakan," katanya.

Menabur khidmat selama 15 tahun sebagai ADUN, Snowdan juga bangga apabila kadar liputan bekalan elektrik di DUN Balai Ringin semakin baik berbanding ketika beliau mula-mula dipilih sebagai wakil rakyat.

"Sewaktu menjadi ADUN pada tahun 2006, liputan elektrik di DUN Balai Ringin cuma 30 peratus dan kini hasil usaha saya bersama dengan kerajaan Sarawak, akhirnya liputan elektrik di kawasan ini sudah mencapai 98 peratus," katanya.

Artikel Berkaitan:

Snowdan, yang juga Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), bakal ditentang oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan pesara kerajaan, Kasim Mana daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) pada PRN kali ini.

Ditanya perasaan bakal 'berlawan' dengan Masir, bekas rakannya dalam PRS, Snowdan berkata, beliau sudah masak dengan sepak terajang politik dan yakin pengundi tahu membezakan antara intan dengan kaca. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my