Bicara kes saman Muhyiddin terhadap Puad bermula 14 Ogos 2023

Gambar dari kiri: Muhyiddin Yassin, Mohd Puad Zarkashi
Gambar dari kiri: Muhyiddin Yassin, Mohd Puad Zarkashi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Khamis menetapkan lima hari bermula 14 Ogos 2023 untuk perbicaraan kes saman Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung kenyataan yang didakwa berbaur fitnah di laman Facebooknya berkaitan perintah kuarantin membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Mohd Puad selaku defendan ketika dihubungi Bernama berkata, tarikh perbicaraan kes saman itu ditetapkan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz ketika pengurusan kes secara dalam talian pada Khamis.

“Mahkamah juga menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 24 Mei 2022 yang akan berlangsung secara dalam talian,” katanya yang turut memaklumkan prosiding pada Khamis disertai peguam Hayden Tan Chee Khoon mewakili Muhyiddin dan peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff bertindak bagi pihak Mohd Puad.

Menerusi writ saman yang difailkan dalam kapasiti peribadi, Muhyiddin mendakwa pada 8 Februari lepas, Mohd Puad telah menerbitkan satu hantaran di laman Facebook di bawah nama ‘DrPuad Zarkashi’ dengan tajuk 'Kuarantin pun ada dua darjat?'.

Beliau mendakwa hantaran itu boleh diakses oleh pengguna internet di seluruh dunia dan telah menerima 1,200 reaksi, 215 komen dan 182 perkongsian.

Katanya, hantaran itu merujuk kepada ‘PM’ yang merupakan singkatan kepada Perdana Menteri dan mengandungi kenyataan tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan jahat serta memfitnah beliau.

Muhyiddin mendakwa, kenyataan itu membawa maksud bahawa beliau dan rombongannya enggan menjalani kuarantin selama 10 hari selepas mereka pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia. - Bernama

Artikel Berkaitan: