Pelbagai kaedah kreatif lengkapkan kempen PRN Sarawak

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Memasuki hari keempat tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12, aktiviti kempen oleh calon dan parti bertanding dilihat lebih ‘meriah’ di medan maya berbanding kaedah secara fizikal.

Kebimbangan terhadap ancaman pandemik Covid-19 menyebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan aktiviti kempen secara fizikal dan lebih menggalakkan kempen menggunakan media sosial.

Bagaimanapun penganjuran ceramah atau syarahan secara fizikal sepanjang tempoh berkempen dibenarkan di 64 daripada 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), yang tidak mempunyai capaian internet tinggi.

Tinjaun Bernama di sekitar kawasan bandar di sini seperti di Satok, Padungan, Batu Lintang dan Batu Kawah mendapati aktiviti berkempen dilaksanakan secara minimum dan lebih banyak tertumpu di media sosial.

Di kawasan tengah dan utara Sarawak, walaupun ceramah atau syarahan secara fizikal dibenarkan di beberapa kawasan yang tidak mempunyai capaian internet yang baik, namun calon dan parti bertanding memilih mempelbagaikan kaedah berkempen tanpa mahu bergantung kepada kaedah konvensional secara bersemuka.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, secara keseluruhan, jentera kempen parti itu tetap berjalan lancar seperti dirancang termasuk menganjurkan ceramah dan sesi interaksi secara langsung di laman media sosial, di samping aktiviti lawatan ke rumah-rumah dalam kumpulan kecil bagi kawasan yang dibenarkan.

Beliau menyifatkan proses kempen bagi PRN kali ini juga agak mencabar, namun tetap optimis para pengundi di kawasan DUN Padungan yang ditandinginya akan turun menjalankan tanggungjawab mereka pada hari pengundian walaupun aktiviti kempen dijalankan secara minimum.

Di DUN Batu Kawah, penyandang kerusi itu yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian turut memberi penekanan terhadap penggunaan media sosial dengan mengeluarkan video yang menampilkan pencapaiannya selama lima tahun di kawasan itu sejak 2016.

Artikel Berkaitan:

Selain itu menurutnya, SUPP Batu Kawah turut menggerakkan kenderaan ‘War Truck’ mereka yang dilengkapi skrin LED, pembesar suara dan pentas bergerak khusus untuk berkempen di sekitar kawasan berkenaan.

“Kita mula gunakan ‘war truck’ ini sejak dua hari lepas. Trak ini akan mengelilingi sekitar kawasan perumahan dan komersial di Batu Kawah untuk menyampaikan pesanan kami kepada pengundi,” katanya.

Kaedah menggunakan aplikasi teknologi mungkin boleh dikatakan berkesan di kawasan bandar, namun bagaimana pula calon-calon di kawasan luar bandar berkempen?

Situasi berbeza dilihat di luar Kuching yang mempunyai banyak kawasan dikategorikan sebagai luar bandar, apabila kempen calon dan parti politik tidak hanya tertumpu di media sosial - ada yang sanggup melakukan pelbagai taktik dan gelagat untuk meraih perhatian pengundi.

Parti Bumi Kenyalang (PBK) mengambil pendekatan memperkenalkan lima calon jelitawan mereka yang bertanding di beberapa kawasan DUN di Sibu, menerusi penggunaan papan tanda gergasi yang persis seperti papan iklan duta produk kecantikan di beberapa jalan utama bandar ini.

Turut mencuri tumpuan ialah pendekatan calon Bebas Bukit Assek, Hii Tiong Huat yang berkempen seorang diri di Pintu Gerbang Sibu, dengan mendirikan khemah serta meletakkan kain rentang logo kunci dalam usaha beliau merayu undi orang ramai.

Di utara Sarawak, kekangan aktiviti berkempen tidak menghalang kesungguhan calon-calon dari pelbagai parti politik yang akan bertanding dalam PRN Sarawak untuk terus mendekati pengundi di kawasan masing-masing.

Ada yang memanfaatkan aktiviti senaman harian pada setiap pagi dengan berjalan di kawasan sekitar rumah untuk bertegur sapa, dan pada masa sama membuat siaran langsung secara maya menerusi media sosial Facebook untuk memberi perkembangan terkini kepada penyokongnya serta mengenal isu tempatan dan kebajikan rakyat.

Selain itu, terdapat juga parti politik yang menggunakan trak bergerak sebagai salah satu cara untuk berkempen dalam menguar-uar manifesto parti kepada msyarakat setempat.

Apa yang jelas, semua calon dan parti sebaik mungkin menggunakan platform media sosial tanpa mengira kawasan mereka bertanding sama ada di bandar atau luar bandar.

Faktor kawasan DUN yang luas dan tempoh berkempen hanya 12 hari selain kebimbangan terhadap ancaman Covid-19 menyebabkan calon-calon mengoptimumkan sebaik mungkin pilihan yang ada tanpa terlalu bergantung kepada kaedah bersemuka yang diamalkan selama ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sarawak ke-12. - Bernama