X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

CAP kesal Sungai Muda dicemari sampah sarap

Sampah sarap di kawasan Sungai Muda, Seberang Perai Utara yang merupakan sumber utama bekalan air kepada penduduk Kedah dan Pulau Pinang.
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan segera membersihkan bahan buangan yang mencemarkan Sungai Muda di Permatang Bendahari, Seberang Perai Utara (SPU) di sini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati terdapat timbunan bahan buangan terutama bekas plastik terapung pada permukaan sungai menyebabkan persekitaran tempat itu kelihatan kotor.

"CAP kesal kerana Sungai Muda merupakan sumber utama bekalan air bagi kegunaan penduduk-penduduk di negeri Kedah dan Pulau Pinang.

"Jika keadaan ini berterusan, bukan saja menjejaskan kualiti air sungai tersebut tetapi juga menjadi tempat nyamuk membiak yang boleh mencetuskan wabak penyakit," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Khamis.

Mohideen berkata, pihaknya amat bimbang jika sisa buangan tersebut mengandungi toksik yang sudah pasti memberi kesan lebih buruk terhadap alam sekitar, hidupan sungai dan laut serta kesihatan manusia.

Beliau berkata, CAP juga percaya sekiranya bahan buangan tersebut dibiarkan, ia akan mencemarkan pantai dan laut berhampiran, sekali gus mengganggu kegiatan nelayan serta menjejaskan mata pencarian mereka.

Beliau sehubungan itu berharap pihak bertanggungjawab menjalankan siasatan dan memberi perhatian serius terhadap masalah berkenaan, di samping mengambil tindakan berkesan agar kejadian serupa tidak berulang.

"Pemantauan berterusan perlu dilakukan dan tindakan undang-undang hendaklah dilaksanakan dengan tegas tanpa memberi pertimbangan kepada mereka yang melanggar peraturan-peraturan termaktub di bawah akta sedia ada.

"CAP meminta supaya bahan pencemar ini dilupuskan di kawasan yang selamat daripada sebarang ancaman ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan," ujarnya.

Tambah beliau, pihak berkuasa juga perlu mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil terhadap masalah berkenaan kepada umum.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!