Rangnick gembira United mara

Greenwood meraikan jaringannya pada perlawanan berkenaan. - Foto The Times
Greenwood meraikan jaringannya pada perlawanan berkenaan. - Foto The Times
A
A
A

BIARPUN diikat 1-1 oleh kelab Switzerland, Young Boys pada aksi Liga Juara-Juara di Old Trafford pada Rabu, pengendali interim Manchester United, Ralf Rangnick tetap gembira dengan kejayaan skuad kendaliannya itu ke saingan kalah mati Liga Juara-Juara selaku juara Kumpulan F.

Menurut Rangnick, keputusan itu dilihat sudah cukup memadai buat skuad The Red Devils itu yang menampilkan ‘barisan kedua’ bagi mengharungi perlawanan berkenaan.

Malah katanya, aksi yang dipamerkan ‘barisan kedua’ berkenaan nyata tidak menghampakan apabila berjaya mencipta beberapa peluang bagi menambah jaringan pada perlawanan berkenaan.

“Beberapa ‘muka baharu’ melakukan debut pada perlawanan ini dalam usaha memberikan mereka minit permainan. Saya tidak kata saya gembira, tetapi persembahan yang mereka pamerkan agak memuaskan.

Rangnick - Foto Getty Images
Rangnick - Foto Getty Images

“Saya juga memberikan perhatian kepada perlawanan kali ini kerana rasanya sudah agak lama mereka tidak beraksi sebagai satu pasukan.

“Pada separuh masa pertama, kita beraksi dengan baik dan berjaya menangani beberapa kesilapan yang dilakukan, malah kita juga seharusnya boleh menjaringkan lebih banyak gol tetapi kami gagal,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Mason Greenwood membuka jaringan buat United pada minit ke-9 namun pemain sayap Young Boys, Fabian Rieder berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-42.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, keputusan itu menyaksikan United mara ke saingan kalah mati dengan 11 mata manakala Young Boys selaku pasukan tercorot Kumpulan F kali ini tersingkir.

Pasukan yang bakal mengiringi The Red Devils itu hanya akan dapat ditentukan pada Jumaat menerusi aksi Atalanta dan Villareal yang ditangguhkan berikutan salji lebat di Bergamo, Itali.

Sementara itu, Rangnick berharap agar pemain-pemain United tidak lagi bergerak menerusi asakan-asakan yang dilancarkan bermula dari barisan pertahanan.

“Saya sedikit kecewa apabila kita sering kehilangan bola kepada mereka ketika berada di kawasan barisan (pressing line) mereka berbanding ketika kita berada di kawasan barisan kedua atau ketiga mereka, kita akan kelihatan bahaya (kepada mereka).

“Oleh itu, perkara seperti ini perlu kita perbaiki untuk perlawanan-perlawan seterusnya nanti,” katanya.