X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Selangor hilang lebih RM50 juta sebab tiada cukai hiburan

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjawab soalan berkaitan isu Program Selvax dan Task Force Tanah Negeri Selangor pada Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2021 di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor kehilangan lebih RM50 juta disebabkan ketiadaan cukai hiburan, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.

“Terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara, Ng Sze Han yang telah menjelaskan tentang cukai hiburan. Sebenarnya kerajaan negeri kehilangan lebih RM50 juta disebabkan ketiadaan cukai hiburan, antaranya kerana panggung wayang (tidak beroperasi), sebagai contoh.

“Pengurangan tersebut akan memberi kesan kepada kemajuan dan hasil negeri,” katanya pada sesi penggulungan Usul Bajet Peruntukan Pembangunan 2022.

Terdahulu, Ng yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru dalam sesi penggulungan usul yang sama, menjawab isu untuk kerajaan negeri melanjutkan duti cukai hiburan pada tahun hadapan yang dibangkitkan Jamaliah Jamaluddin (PH-Bandar Utama).

Ng berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bilangan 40/2021 pada 24 November lepas telah bersetuju memberikan pengecualian penuh duti hiburan mulai 1 Januari sehingga 30 September tahun ini atau selama tempoh sembilan bulan.

“Kerajaan negeri bersetuju mengadakan kutipan duti hiburan bermula 1 Oktober sehingga 31 Disember 2021 serta membuat penyelarasan bayaran duti hiburan pada tahun hadapan dengan mengambil kira pembayaran yang telah dibuat pada tahun ini.

“MMKN juga bersetuju untuk permohonan pengecualian penuh duti hiburan bagi aktiviti hiburan yang lain di Selangor dipertimbangkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pencapaian pemberian vaksin menerusi program jangkau luar dalam kalangan masyarakat orang asli di Selangor yang berumur 18 tahun dan ke atas, adalah 88.4 peratus bagi dos pertama setakat 30 November lepas.

Dr Siti Mariah menjelaskan, berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sebanyak 86.9 peratus daripada masyarakat orang asli sudah lengkap dua dos suntikan termasuk pemberian tunggal vaksin Cansino.

Beliau menjawab pertanyaan Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku) yang membangkitkan isu berkaitan usaha meningkatkan kadar vaksinasi kepada masyarakat orang asli di Selangor.

Terdahulu, DUN Selangor pada Rabu meluluskan Usul Peruntukan Pembangunan 2022 sebanyak RM1.123 bilion bagi perbelanjaan pembangunan tahun hadapan yang telah dibahas bermula semalam.

Sidang DUN Selangor ditangguhkan sehingga jam 10 pagi esok.- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!