Pemandu bas seludup PATI cuba sogok imigresen

Pihak imigresen mengawal PATI yang ditahan dalam serbuan pagi tadi.
Pihak imigresen mengawal PATI yang ditahan dalam serbuan pagi tadi.
A
A
A

KOTA BHARU – Cubaan seorang pemandu bas ekspres mendekati penguat kuasa Jabatan Imigresen Kelantan bertujuan menyogok anggota dalam serbuan di Bandar Baharu Pasir Puteh, awal pagi tadi, gagal selepas dia ditahan kerana dipercayai bersekongkol dalam kegiatan penyeludupan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI).

Suspek berusia 30-an itu ditahan bersama pemandu kedua berusia 40-an, manakala 15 PATI berusia antara 20 hingga 35 tahun yang terdiri daripada 11 lelaki, empat wanita serta dua bayi turut ditahan.

Seorang daripada wanita warga Kemboja berusia 30-an yang ditahan itu juga dipercayai ejen penyeludupan yang menjadi orang tengah dalam menjalankan kegiatan itu.

Ketua Bahagian Penguat kuasa Imigresen Kelantan, Ruzaana Mohamed berkata, hasil maklumat dan risikan yang dilakukan pihaknya melancarkan Ops Bersepadu Serkap bermula jam 1.30 pagi hingga 5.20 pagi tadi.

Katanya, operasi yang disertai empat anggota termasuk pegawai kanan jabatan menahan sebuah bas ekspres yang dipandu dari arah Melaka menuju ke Rantau Panjang dengan membawa 27 penumpang termasuk 21 warga asing dan enam warga tempatan.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kesemua penumpang itu mendapati 15 PATI yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan, malah ketika pemeriksaan dilakukan di lokasi serbuan, seorang daripada pemandu bas ekspres berkenaan cuba mendekati anggota bertujuan menyogok pihak berkuasa.

“Kedua-dua pemandu terbabit dan wanita warga Kemboja terbabit bagaimanapun ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ruzaana (tengah) menyoal siasat seorang daripada wanita warga asing yang ditahan pada serbuan itu.
Ruzaana (tengah) menyoal siasat seorang daripada wanita warga asing yang ditahan pada serbuan itu.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati 15 PATI berkenaan bekerja di luar negeri Kelantan dan menaiki bas menerusi ejen dipercayai dalam perjalanan untuk pulang ke kampung masing-masing melalui jalan pangkalan haram di sempadan negara.

“Mereka bekerja dalam pelbagai lapangan, ada tukang masak dan ada pula yang menjahit pakaian bagi wanita. Pecahan mereka adalah tujuh warganegara Thailand; seorang Myanmar dan 13 termasuk dua bayi warganegara Kemboja.

“Sejumlah 12 daripada mereka ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di Malaysia, manakala dua lagi PATI ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memberitahu dua majikan dan lapan lagi PATI terdiri daripada warganegara satu Pakistan; lima Kemboja dan masing-masing seorang warganegara Thailand dan Bangladesh berusia antara 17 tahun hingga 46 tahun ditahan dalam tujuh Ops Bersepadu Jaja, Belanja dan Sapu sekitar Kota Bharu.

“Operasi berlangsung selama dua hari bermula Isnin dari jam 1 pagi hingga jam 3 pagi melibatkan serbuan di gerai menjual kuih dan roti, kedai pakaian dan empat rumah di sekitar Kota Bharu. Kesemua mereka dikenakan perintah tahanan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.