Pro Royalti sedia saman Petronas

Dr Wan Zawawi (tengah) semasa mengadakan pertemuan dengan wakil kerajaan negeri di Kota Darulnaim, Kota Bharu pada Rabu.
Dr Wan Zawawi (tengah) semasa mengadakan pertemuan dengan wakil kerajaan negeri di Kota Darulnaim, Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Sekretariat Bertindak Profesional Kelantan Tuntut Royalti (Pro Royalti) bersedia menyaman Petronas bagi mendapatkan semula hak rakyat Kelantan yang dinafikan.

Pengerusinya, Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail berkata, sebagai langkah awal badan tersebut sudah mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan maklumat berkaitan tuntutan itu sebelum membawanya ke mahkamah.

"Mengikut pendapat perundangan kerajaan negeri telah menarik balik saman yang dikemukakan sebelum ini. Jadi kerajaan negeri sudah tidak lagi boleh berbuat demikian lagi (saman).

"Sebagai rakyat Kelantan, Pro Royalti berpandangan sudah menjadi tanggungjawab kami untuk membuat semula tuntutan itu dengan mengambil kira apa-apa perkara yang tertinggal sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan wakil kerajaan negeri di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Menurutnya, hasil pertemuan itu kerajaan negeri memberikan sokongan kepada Pro Royalti untuk memperjuangkan isu tersebut.

Beliau berkata, saman itu akan dikemukakan kepada Petronas berpandukan kepada perjanjian yang telah dimeterai sebelum ini.

Dalam pada itu, Wan Zawawi berkata, bagi memperkasakan lagi tuntutan itu, Pro Royalti akan menubuhkan pasukan khas bagi mengkaji semula perjanjian antara Kelantan dengan Petronas yang dimeterai pada 1975.

"Kita juga akan mendapatkan khidmat juruukur antarabangsa bagi menentukan persempadanan sebenar perairan Kelantan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita meminta seluruh rakyat Kelantan dengan melangkaui sempadan politik untuk berjuang menuntut semula hak yang dinafikan ini (royalti)," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Kelantan kecewa isu royalti petroleum

Sebelum ini Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis lalu, Menteri Kewangan itu berkata, ia disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan Kelantan.

Mengikut perjanjian 1975 yang telah ditandatangani oleh Menteri Besar Kelantan ketika itu Datuk Mohammad Nasir dengan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan negeri ini diberikan royalti sebanyak lima peratus setahun.

Pembayaran itu dilakukan secara tunai sebanyak dua kali setahun untuk hasil minyak yang ditemui di kawasan pantai dan persisirnya.