'Penangkapan 3 suspek pengganas di Serian timbulkan kebimbangan'

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. - Foto Bernama
Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. - Foto Bernama
A
A
A

BETONG - Penangkapan tiga suspek pengganas di Bandar Serian baru-baru ini boleh menimbulkan kebimbangan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari, yang juga pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri, berkata kegiatan keganasan yang didakwa dilakukan oleh ketiga-tiga suspek itu amat buruk kepada keselamatan negeri.

"Kita mesti ucap tahniah kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia) kerana usaha dan perisikan mereka telah membantu mengenal pasti, mengesan dan seterusnya menangkap mereka yang terlibat dalam kegiatan seperti itu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun telah berkata, ketiga-tiga suspek, iaitu seorang lelaki warganegara Mesir, seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan berumur antara 20 dan 54 tahun, ditangkap pada 2 Feb lepas.

Mereka ialah antara sembilan individu, termasuk tujuh warganegara asing, yang ditahan dalam beberapa operasi oleh Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas, Bukit Aman bulan lepas di Lembah Klang dan Sarawak.

Ketika ditanya sama ada keselamatan negeri telah diceroboh, Abang Johari berkata, dari satu sudut ya tetapi pihak berkuasa sentiasa memantau keadaan itu.

"Apa yang saya mahu rakyat lakukan ialah supaya lebih berwaspada dan bersedia.

"Kita perlu berwaspada jika ada warga asing tiba-tiba saja membuka restoran di tempat kita, walaupun dia berkopiah putih haji,” katanya mengenai pengusaha restoran warganegara Mesir itu yang dikatakan mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas al-Qaeda.

Artikel Berkaitan:

"Ini soal persepsi,” kata Ketua Menteri itu. - Bernama