X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Lima jelitawan curi tumpuan kempen PRN Sarawak di Sibu

Beberapa papan tanda gergasi (billboard) memaparkan gambar lima calon wanita Parti Bumi Kenyalang (PBK) di sekitar pekan Sibu ketika tinjauan menjelang PRN Sarawak ke-12 yang dijadual berlangsung pada 18 Disember ini. - Foto Bernama
A
A

SIBU - Sekilas pandang tidak ubah seperti papan iklan yang memaparkan duta-duta produk kecantikan, namun apabila diamati, ia merupakan gambar lima calon wanita sebuah parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Itulah gambaran paling tepat bagi menjelaskan kehadiran beberapa papan iklan gergasi memaparkan lima jelitawan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang menghiasi jalan-jalan utama di bandar ini.

Taktik memaparkan jelitawan dengan fesyen rambut berbeza ditambah pula senyuman manis pasti mencuri tumpuan orang ramai yang melewati kawasan terbabit dalam situasi norma baharu yang tidak membenarkan kempen pilihan raya rumah ke rumah.

Malah tidak kurang juga ada yang mengambil peluang untuk berswafoto dengan jelitawan berkenaan.

Lima jelitawan yang menjadi pertaruhan PBK untuk mencipta kejutan dalam kawasan Parlimen Sibu pada PRN kali ini ialah Priscilla Lau yang bertanding di Bukit Assek, Jane Lau Sing Yee (Dudong), Michelle Ling Shyan Mih (Bawang Assan), Tiew Yen Huong (Pelawan) dan Olivia Lim Wen Sia (Nangka).

Priscilla, 52, dan Michelle, 25, adalah peguam, manakala Jane, 36, ialah seorang pengamal perubatan tradisional Cina dan Tiew Yen Houng, 51, pula pemilik syarikat hartanah dan Olivia, 24, merupakan pembantu peribadi.

Mereka adalah sebahagian daripada 12 calon wanita PBK yang secara keseluruhan bertanding di 73 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya itu.

Ketika dihubungi Bernama, Presiden PBK Voon Lee Shan berkata, langkah berani meletakkan ramai calon wanita adalah bukti bahawa parti itu mengutamakan hak kesamaan jantina bagi golongan hawa yang terlibat dalam politik.

“Pendirian parti ialah wanita hendaklah dilayan sama rata seperti lelaki. Membenarkan mereka bertanding tidak bermakna kita merendah-rendahkan keupayaan kaum lelaki kerana langkah itu adalah lebih kepada memperkasa golongan wanita memandangkan mereka memiliki latar belakang pelbagai profesion termasuk peguam dan berpendidikan tinggi,” katanya.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya yang dikeluarkan Isnin lepas, seramai 349 calon bertanding pada PRN12 dengan 45 orang atau 12.9 peratus daripada mereka adalah wanita.

Selain itu, dua calon termuda terdiri daripada wanita iaitu Olivia Lim dan Cherishe Ng Phuay Hui berusia 24 tahun yang masing-masing bertanding atas tiket PBK dan PKR di kerusi Nangka dan Batu Lintang. - Bernama


Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my



Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!