Sasar KL bandar karbon neutral 2050

Shahidan merasmikan Seminar Rendah Karbon Kuala Lumpur dan Pelancaran Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur 2050 di Hotel InterContinental di sini pada Rabu.
Shahidan merasmikan Seminar Rendah Karbon Kuala Lumpur dan Pelancaran Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur 2050 di Hotel InterContinental di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia berikrar untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon negara bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, rentetan daripada itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memulakan inisiatif rendah karbon dengan menggariskan sebanyak 245 program di bawah Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030.

Menurutnya, langkah itu bermatlamat mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 70 peratus pada 2030 dan Kuala Lumpur turut berhasrat untuk mencapai bandar karbon neutral pada 2050.

"Selaras dengan visi untuk menjadi bandar bertaraf dunia, boleh didiami, mampan dan berdaya tahan untuk semua, Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur 2050 telah dibangunkan.

"Ia untuk mengenal pasti tindakan yang diperlukan dalam pembangunan tindakan iklim di Kuala Lumpur sama ada perancangan jangka pendek, sederhana atau panjang, " katanya pada perasmian Seminar Rendah Karbon Kuala Lumpur dan Pelancaran Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur 2050 di Hotel InterContinental di sini pada Rabu.

Jelas beliau, Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur mengandungi lima strategi utama iaitu Strategi Mobiliti dan Infrastruktur, Strategi Bandar Adaptasi Hijau, Strategi Bangunan Cekap Tenaga dan Kalis Iklim, Strategi Pengurusan Sampah Pintar serta Strategi Pengurusan Bencana.

Tambahnya, individu, warga kota, industri, komersil, persatuan penduduk dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan dalam merealisasikan matlamat bandar neutral karbon di Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan: