X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Bakar kereta kerana berang cinta ditolak

A
A

SERDANG - Berang cinta ditolak, seorang lelaki bertindak membakar kereta milik seorang wanita dalam kejadian di Pangsapuri Seri Pagi, Taman Bukit Serdang di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.20 pagi ketika mangsa berada di rumah.

"Mangsa ketika itu dimaklumkan oleh jirannya berhubung kejadian. Mangsa yang terkejut kemudian turun dari rumah sebelum mendapati kereta miliknya sudah terbakar dan api sedang dipadamkan oleh pihak bomba.

"Hasil penelitian daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, polis menahan seorang lelaki berumur 29 tahun di sekitar kawasan Bandar Kinrara, Puchong kerana disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati akibat cintanya ditolak wanita berkenaan.

"Suspek berang akibat cintanya ditolak mangsa sejak setahun lepas," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Hasil ujian saringan suspek juga didapati negatif dadah.

"Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!