55 jadi anak yatim piatu akibat Covid-19

Dr Siti Mariah Mahmud
Dr Siti Mariah Mahmud
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 1,813 kanak-kanak di Selangor kehilangan ibu, bapa atau penjaga akibat Covid-19 manakala 55 daripada jumlah itu menjadi yatim piatu dalam tempoh Januari 2020 sehingga September 2021.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, jumlah itu direkodkan oleh 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh negeri.

"Daripada jumlah itu juga, seramai 30 penjaga meninggal dunia," katanya ketika sesi Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke -14 di sini pada Selasa.

Siti Mariah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lim Yi Wei (DAP-Kampung Tunku) mengenai bilangan anak yatim dan yatim piatu di negeri Selangor akibat Covid-19 dari Januari 2020 sehingga September 2021.

Dalam pada itu, Dr Siti Mariah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor tidak mempunyai data bilangan anak yatim atau anak yatim piatu akibat penyakit Covid-19 mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor hanya merekodkan data secara keseluruhan dan bilangan mengikut PPD di Selangor sahaja seperti yang dimaklumkan dalam data yang disediakan.

"Antara tiga daerah yang mempunyai bilangan anak yatim tertinggi akibat Covid19 ialah daerah Hulu Langat, Klang dan Petaling Perdana," katanya.

Artikel Berkaitan: