X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 24 Januari 2022

Berakhirnya era pasangan Peng Soon-Liu Ying dalam sukan badminton

Penarikan diri pasangan profesional itu bermakna, pertandingan akhir Jelajah Dunia BWF 2021 di Bali baru-baru ini adalah kejohanan terakhir mereka beraksi sebelum mengumumkan perpisahan dalam sukan badminton.- Foto Bernama
A
A

SELEPAS 13 tahun digandingkan bersama, pasangan beregu campuran badminton negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Rio 2016, akhirnya mengumumkan perpisahan mereka.

Peng Soon menerusi kiriman Instagram malam Isnin dengan tulus ikhlas mengakui agar sukar bagi mereka membuat keputusan untuk berpisah buat selama-lamanya.

“Jerih perih kami bersama-sama, kami gagal, kami berjaya dan kami membesar bersama-sama. Terima kasih semua yang sentiasa menyokong saya dan Liu Ying serta kekal bersama-sama kami sepanjang 13 tahun dalam kerjaya badminton kami ini,” katanya.

Pada Isnin, Liu Ying dalam catatan di Facebook miliknya berkata bahawa mereka telah menarik diri daripada Kejohanan Dunia BWF (Persekutuan Badminton Dunia) 2021, hanya enam hari sebelum pertandingan bermula di Huelva, Sepanyol.

Ternyata amat terkesan dengan keputusan penarikan diri mereka daripada pertandingan itu, Liu Ying yang berusia 32 tahun berkata, faktor usia, kecergasan dan peningkatan kes Covid-19 di seluruh dunia adalah penyebab utama mereka berundur diri.

Penarikan diri pasangan profesional itu bermakna, pertandingan akhir Jelajah Dunia BWF 2021 di Bali baru-baru ini adalah kejohanan terakhir mereka beraksi sebelum mengumumkan perpisahan dalam sukan badminton.

Pasangan nombor sembilan dunia itu tewas kepada Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand 8-21, 18-21 pada perlawanan separuh akhir.

Susulan keputusan mereka itu, Peng Soon, 33, menerima mesej dan kata-kata semangat daripada pemain badminton lain termasuk rakan dan bekas lawannya.

Pemain badminton Indonesia, Liliyana Natsir yang menewaskan Peng Soon-Liu Ying, 21-14, 21-12, pada final Rio 2016 bersama-sama pasangannya Tontowi Ahmad menyifatkan pemain Malaysia itu sebagai lawan yang mempunyai semangat kesukanan tinggi, hebat dan mesra.

“Anda dan Liu Ying adalah sebahagian daripada sejarah pencapaian tertinggi saya di Sukan Olimpik Rio 2016. Semoga anda berjaya pada masa hadapan,” katanya.

Legenda badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei dan pemenang pingat gangsa beregu lelaki Tokyo 2020, Aaron Chia pula mengucapkan kepada kedua-dua pemain itu, selamat maju jaya dalam kerjaya yang diceburi pada masa depan manakala akaun rasmi BWF meninggalkan emoji sedih di ruangan komen.

Selain pingat perak bersejarah di Rio 2016 itu, Peng Soon-Liu Ying turut merangkul pingat emas dalam acara berpasukan campuran pada Sukan Komanwel 2010 di India.

Pasangan itu juga berjaya memenangi 12 kejohanan dan berada dalam ranking ketiga terbaik dunia, pencapaian tertinggi mereka pada 2013. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!