X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Berang ditegur, dua pemandu lori parah ditetak

Wan Kamarul Azran pada sidang akhbar di Balai Polis Cyberjaya pada Isnin.
A
A

CYBERJAYA - Gara-gara menegur seorang lelaki yang menendang kereta miliknya sendiri, dua pemandu lori syarikat pembersihan parah ditetak dalam kejadian di tempat letak motosikal Flat Taman Permata, Dengkil pada Ahad.

Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian awal berlaku kira-kira jam 7.40 pagi apabila kedua-dua mangsa melihat suspek dalam keadaan marah dan menendang sebuah kereta.

"Mereka kemudiannya menegur suspek dan berlaku pertengkaran.

"Selepas kedua-dua mangsa selesai bekerja kira-kira jam 12 tengah hari, mereka didatangi suspek yang membonceng sebuah motosikal yang ditunggang seorang remaja," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Cyberjaya pada Isnin.

Wan Kamarul Azran berkata, suspek kemudiannya turun dari motosikal dan mengeluarkan sebilah parang.

"Suspek bertindak melibas ke arah kedua-dua mangsa mengakibatkan mereka tercedera dan suspek bertindak melarikan diri.

"Mangsa pertama mengalami kecederaan di bahagian tangan sebelah kanan dan patah tulang tangan kanan manakala mangsa kedua mengalami kecederaan di bahagian telinga.

"Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, suspek berumur 28 tahun berjaya diberkas di tepi premis KFC KIP Mall Kota Warisan, Bandar Baru Salak Tinggi kira-kira jam 11.30 malam.

"Semakan rekod dijalankan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau antaranya melibatkan Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!