Anggota Maritim Malaysia tidak mengaku terima suapan RM26,200

Mohd Norizan (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Isnin atas 32 pertuduhan menerima rasuah RM26,200 daripada seorang nelayan empat tahun lalu.
Mohd Norizan (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Isnin atas 32 pertuduhan menerima rasuah RM26,200 daripada seorang nelayan empat tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Isnin atas 32 pertuduhan menerima suapan RM26,200 daripada seorang nelayan empat tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Norizan Yahaya, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zani.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama hingga ke- 32, Mohd Norizan yang berpangkat Bintara Muda Maritim yang bertugas di Agensi Penguatkuasaan Maritim, Zon Maritim Kuala Kedah telah menerima suapan yang berjumlah RM26,200 daripada Neo Siang Joo melalui pindahan wang secara dalam talian ke dalam akaun Bank Islam miliknya.

Suapan itu didakwa diterima tertuduh sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap bot milik Siong Joo.

Mohd Norizan didakwa melakukan perbuatan terbabit di di Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Mahkota Square Jalan Mahkota, antara 13 Mei 2018 hingga 30 Mei 2019.

Kes pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah.

Dalam prosiding itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Fauzee Azizan menawarkan ikat jamin RM20,000 terhadap semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun Mohd Norizan yang tidak diwakili peguam meminta agar wang ikat jamin dikurangkan atas alasan menanggung isteri dan anak yang masih bersekolah.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh juga memberitahu, isterinya menghidap kanser rahim dan memerlukan perbelanjaan yang banyak setiap bulan.

"Saya harap pihak mahkamah dapat membenarkan jaminan RM4,000, itu sahaja wang yang saya ada," rayunya pada prosiding itu.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM15,000 bagi kesemua pertuduhan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

Kes disebut semula pada 6 Januari tahun depan.