Mekanisme Jaringan Keselamatan Ekuiti (ESN) sedang dikaji

Ismail Sabri berucap pada Majlis Pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama
Ismail Sabri berucap pada Majlis Pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengkaji mekanisme Jaringan Keselamatan Ekuiti (ESN) bagi memastikan saham yang dipegang agensi bermandat Bumiputera kekal dalam kelompok syarikat itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu dibuat bagi membentuk kesaksamaan peluang dari segi ekonomi dan seterusnya memperkasakan agenda Bumiputera yang dinaungi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Menurut Ismail Sabri, walaupun Bumiputera merupakan kaum majoriti di negara ini iaitu seramai 20.9 juta atau 69.7 peratus, status sosioekonomi golongan itu masih di tahap yang memerlukan peningkatan.

Jelasnya, peningkatan itu khususnya kesenjangan kekayaan, jurang pendapatan serta pemilikan aset yang masih rendah.

"Kerajaan komited dalam usaha meningkatkan penglibatan perniagaan Bumiputera dalam projek nasional berskala besar serta mengkaji polisi perolehan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta isu-isu berkaitan ekuiti korporat Bumiputera yang masih jauh daripada sasaran 30 peratus.

"Sehubungan itu, kerajaan sedang mengkaji mekanisme ESN bagi memastikan saham yang dipegang agensi bermandat Bumiputera kekal dalam kelompok Bumiputera.

"Mekanisme ini boleh diperhalusi agar dapat mencapai ekuiti dan nilai Bumiputera tanpa memberi kesan terlalu besar kepada daya saing agensi berkaitan dalam urusan pelaburan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai TPB2030, Ismail berkata, ia merupakan hala tuju agenda Bumiputera yang baharu bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Beliau berkata, TPB2030 menggariskan strategi jelas melalui program pembangunan dan inisiatif yang diselaraskan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang didukung oleh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan terangkum dalam konteks Keluarga Malaysia.

"Secara amnya, TPB2030 telah mengenal pasti enam sasaran utama untuk dicapai menjelang tahun 2030.

"Sasaran ini bakal dicapai melalui tujuh aktiviti pertumbuhan ekonomi utama (KEGA) yang terdiri daripada pertanian komoditi, ekonomi digital, halal dan makanan, Kewangan Islam 2.0, pengangkutan dan mobiliti lestari, pembuatan dan pelancongan," katanya.

Tambahnya, Bumiputera perlu dibantu dengan cara baharu dan lebih berstruktur, inklusif dari Perlis ke Sarawak hingga ke Sabah, termasuk golongan Bumiputera minoriti.

"Seperti mana yang saya sebutkan dahulu, tiada yang akan dibiarkan terpinggir atau dilupakan, seiring dengan intipati RMK12.

"Namun, Teraju juga mestilah moden dalam pendekatannya. Dalam menjayakan agenda Bumiputera, Teraju dan agensi pelaksana lain mestilah memastikan tadbir urus yang tinggi dipraktikkan dan kualiti piawaian diutamakan," katanya.