Kapal dagang asing ditahan Maritim

 Kapal dagang asing tersebut dipercayai bersauh tanpa kebenaran di Tanjung Piai.
Kapal dagang asing tersebut dipercayai bersauh tanpa kebenaran di Tanjung Piai.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Johor menahan sebuah kapal dagang asing, semalam.

Kapal tersebut ditahan sekitar jam 10.10 pagi di kedudukan lebih kurang 4.4 batu nautika tenggara Tanjung Piai, di sini.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, sebuah bot ronda Maritim digerakkan bagi melakukan pemeriksaan ke atas kapal itu.

“Menerusi maklumat pengesanan radar yang diterima dari Area Control Center (ACC) Johor, Pusat Operasi Maritim Johor telah melancarkan gerakan sebuah bot ronda Maritim bagi melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kapal yang dipercayai telah bersauh tanpa kebenaran.

“Pemeriksaan yang dijalankan oleh bot ronda Maritim mendapati kapal tersebut bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia dan pemilik gagal memastikan jumlah keanggotaan yang mencukupi di kapal sepertimana Sijil Keanggotaan Selamat,” katanya di sini hari ini.

Aminuddin berkata, kapal yang berdaftar di Ulaan Baatar, Mongolia itu dikendalikan oleh tiga kru dan seorang kapten kapal warganegara Indonesia lingkungan umur 26 hingga 59 tahun.

Katanya, kapal kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta-akta berkaitan.

“Maritim Johor akan sentiasa meningkatkan penguatkuasaan di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan negeri Johor bagi memastikan kesejahteraan perairan negara sentiasa terpelihara dan bebas daripada sebarang insiden yang tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

“Aspek keselamatan di laut dan pematuhan undang-undang adalah perlu dititikberatkan oleh semua pihak terutamanya di kalangan komuniti Maritim. Sebarang aduan tentang salah laku atau kecemasan di laut hubungi 999 atau Pusat Operasi Maritim Johor di talian 07-219 9404,” katanya.