26 Toyota Hilux GS Cargo optimum pengurusan bencana di Terengganu

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim menyempurnakan penyerahan Toyota Hilux GS Cargo yang diterima PDRM kontinjen Terengganu pada Ahad.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim menyempurnakan penyerahan Toyota Hilux GS Cargo yang diterima PDRM kontinjen Terengganu pada Ahad.
A
A
A

MARANG - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 26 unit kenderaan pacuan empat roda (4x4) Toyota Hilux GS Cargo yang diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) kontinjen Terengganu membantu dalam mengoptimumkan pergerakan misi bencana terutama banjir dan pengurusan Covid-19 di Terengganu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kenderaan baharu itu diserahkan untuk kegunaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Terengganu.

"IPK Terengganu akan menerima satu unit kenderaan, IPD Kuala Terengganu (enam), IPD Kemaman (empat) dan masing-masing tiga unit kenderaan untuk kegunaan IPD Marang, Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan Dungun.

"Kenderaan ini dapat digunakan bagi membantu melancarkan penugasan ketika bencana terutama banjir, tugas harian serta operasi seperti Covid-19 di Terengganu," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Toyota Hilux GS Cargo PDRM Kontinjen Terengganu di Pangkalan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 6 Wakaf Tapai di sini pada Ahad.

Sementara itu, Mazlan berkata, sebanyak 10 unit kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dibina di Pulau Redang pada tahun hadapan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Katanya, pembinaan tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM13 juta di mana proses reka bentuk dan tender masih di peringkat perancangan.

"Kita lihat kebanyakan anggota polis di Pulau Redang sukar untuk mendapatkan kediaman di situ di mana buat masa ini hanya terdapat lapan unit kuarters di Balai Polis Pulau Redang.

"Sebahagian daripada 28 pegawai terpaksa berulang alik dari tanah besar setiap masa kerana kesukaran untuk mendapatkan rumah sewa di pulau berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Dengan penambahan kuarters ini, ia dapat membantu warga PDRM terutama dalam melancarkan tugasan mereka apabila tiba musim tengkujuh," katanya.

Dalam pada itu, katanya, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu baharu serta ibu pejabat polis daerah Hulu Terengganu dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2024.