Projek solar beri limpahan ekonomi penduduk Ladang Bikam

Saarani (lima dari kanan) bersama Ranhill pada Majlis Pecah Tanah Projek Berskala Besar 50MW Ladang Solar di Ladang Bikam, Bidor pada Sabtu.
Saarani (lima dari kanan) bersama Ranhill pada Majlis Pecah Tanah Projek Berskala Besar 50MW Ladang Solar di Ladang Bikam, Bidor pada Sabtu.
A
A
A

TAPAH - Projek Loji Solar berkapasiti 50 Megawatt (MW) yang akan dibangunkan di kawasan seluas 73 hektar dijangka dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar Ladang Bikam, Bidor di sini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek solar yang dijangka siap pada 30 Jun 2023 itu berpotensi menyediakan tenaga bersih kepada perindustrian, pertanian dan memberi manfaat ekonomi lebih luas di kawasan terbabit.

"Pembangunan ladang solar ini dilaksanakan oleh Ranhill Solar 1 Sdn Bhd bertujuan membekalkan tenaga elektrik selama 21 tahun mulai tahun 2023.

"Projek ini yang akan bermula pada tahun hadapan bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan, sebaliknya membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat apabila siap dalam tempoh 18 bulan," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek 50MW Ladang Solar Ladang Bikam di sini pada Sabtu.

Hadir sama ialah Presiden Ranhill, Tan Sri Hamdan Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Suaidi Abdul Rahim dan Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Saarani berkata, perkembangan tenaga solar mampu membantu negeri mewujudkan kelestarian bandar pintar dan membangun.

"Penggunaan teknologi hijau dan tenaga diperbaharui dilihat mampu mengurangkan jejak karbon negeri, sekali gus menyokong usaha menangani perubahan iklim.

"Kerajaan negeri bersedia untuk meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui menerusi inisiatif solar yang merupakan alternatif kepada tenaga hidro yang menggunakan sungai sebagai sumber utama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kolaboratif itu akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kepada kerjasama pintar bersama pihak swasta dalam mempromosikan teknologi hijau.

Sementara itu, Hamdan berkata, Perak dipilih kerana kedudukan geografi tapak yang mempunyai kadar iridiasi yang tinggi bagi penjanaan maksimum kepada ladang solar.

"Faktor lain seperti permukaan tanah dan jarak ke pencawang elektrik diambil kira dalam pemilihan tapak projek.

"Tenaga elektrik yang terhasil akan disalurkan kepada talian grid nasional Tenaga Nasional Berhad (TNB). Projek pertama ini akan menjadi titik permulaan kepada pengembangan segmen tenaga di Semenanjung," kata beliau.