PKR hormati pentafsiran berbeza ahli, pemimpin parti

Anwar ketika ditemui pemberita selepas selesai program santai bersama nelayan di Pantai Bagan Pinang, di sini pada Sabtu.
Anwar ketika ditemui pemberita selepas selesai program santai bersama nelayan di Pantai Bagan Pinang, di sini pada Sabtu.
A
A
A

PORT DICKSON - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghormati pandangan atau pentafsiran berbeza daripada ahli dan pemimpin parti itu bagi menentukan sama ada mereka perlu bergerak solo atau sebaliknya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini semua pihak mahu mencari dalih dan alasan kekalahan parti berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

"Kita akan buat kajian teliti. Kita boleh dengar pandangan mereka dan kita hormatinya," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai program santai bersama para nelayan di Pantai Bagan Pinang di sini pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang juga bekas Pengerusi PKR Johor menasihatkan parti itu agar bertanding secara solo pada PRU15.

Jelas Hassan, situasi dialami PKR ketika ini diibaratkan sebagai 'habis madu sepah dibuang' apabila rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) dilihat tidak lagi mahu menggunakan logo parti berkenaan.

Sementara itu, mengulas isu kenaikan harga barangan mentah ketika ini, Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson berpandangan, perlu ada satu jawatankuasa kabinet ditubuhkan bagi mencari jalan penyelesaian.

Beliau berkata, ia mesti melibatkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Menteri Kewangan dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

"Ini melibatkan soal modal, pasaran dan suntikan dana daripada kerajaan. Tidak boleh lepas tangan. Soal harga baja tinggi, kalau naik sedikit pun mesti dikawal. Macam harga ayam, kenapa ada sesetengah tempat harganya RM8.90 dan ada yang RM10. Ini soal pemasaran," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: