X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Di sebalik kejayaan dokumentari orang asli Bateq

Orang Asli Bateq dari Kampung Orang Asli Aring 5 membina khemah untuk berlindung ketika menjalani kuarantin di dalam hutan bagi menghindar Covid-19.
A
A

VIDEO dokumentari 'Yak Kan Putus Asak' yang mengisahkan perjuangan Orang Asli Bateq melawan penularan Covid-19 dengan bersembunyi di dalam hutan selama hampir dua bulan pada awal tahun lalu memberi makna tersendiri buat Sinar Harian.

Pembikinan video berdurasi 38 minit 27 saat itu merupakan yang pertama seumpamanya sejak 15 tahun kewujudan Sinar Harian di Malaysia.

Lebih membanggakan video dokumentari hasil perahan idea dan kreativiti Zamri Rambli, Nurul Riduan Nor Ashaha, Liza Mokhtar dan Md Adib Md Yunos serta kru telah berjaya memikat hati juri untuk merangkul pingat perak Anugerah Video Dokumentari Terbaik pada Malam Kewartawanan Malaysia - MPI Petronas 2020 yang berlangsung pada Selasa.

Video 'Yak Kan Putus Asak' berjaya menempatkan diri sebaris gergasi media yang jauh lebih berpengalaman dalam pembikinan video dokumentari iaitu TV3 dan Bernama TV.

Menyingkap kembali pembikinan 'Yak Kan Putus Asak’, bekas Ketua Pengarang Sinar Harian, Allahyarham Datuk Baharom Mahusin adalah orang pertama melontarkan idea supaya kami memfokuskan tentang Orang Asli Bateq kembali ke hutan angkara Covid-19.

Wartawan, Nurul Riduan ketika menemuramah Orang Asli Bateq.
Wartawan, Nurul Riduan ketika menemuramah Orang Asli Bateq.

Menyahut cabaran itu, kami melakukan penyelidikan dan mengumpul segala maklumat termasuk menghubungi bekas wartawan Sinar Harian daerah Gua Musang, Akmalia Razak bagi mendapatkan gambaran sebenar lokasi kampung Orang Asli Bateq di Kuala Koh dan Felda Aring 5.

Pada 1 Ogos 2020, saya bersama Zamri meninjau sendiri dua lokasi berkenaan dan bertemu dengan Tok Penghulu, Raina Anjang di Felda Aring 5.

Hasil pertemuan tersebut, kami mengetahui bagaimana 304 orang penduduk di Felda Aring 5 berpindah ke dalam hutan sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan pada 18 Mac tahun lalu.

Orang Asli Bateq membawa kelengkapan untuk memasak ketika kuarantin diri selama dua bulan di dalam hutan pada awal tahun lalu.
Orang Asli Bateq membawa kelengkapan untuk memasak ketika kuarantin diri selama dua bulan di dalam hutan pada awal tahun lalu.

Pemilihan tajuk 'Yak Kan Putus Asak' (bahasa Bateq) yang membawa maksud 'jangan putus asa' adalah bertepatan dengan tindakan komuniti orang asli ini menyelamatkan diri di hutan kerana Covid-19 yang masih misteri ketika itu.

Sekembalinya dari Gua Musang, kami menemui Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar dan Pakar Antropologi dan Sosiologi (Pengajian Peribumi), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Roslan Rosnon bagi mendapatkan informasi lanjut berkenaan tindakan Orang Asli Bateq ini.

Bermula 10 Ogos, kami menjalani penggambaraan selama tujuh hari yang benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal masing-masing. Setiap hari kami berulang-alik hampir satu jam dari homestay tempat kami menginap di Chiku 2 untuk sampai ke Kampung Aring 5.

Pada hari Orang Asli Bateq mahu berangkat ke lokasi persembunyian mereka daripada Covid-19, kami bermandi peluh selama lebih satu jam di bawah terik matahari tatkala menelusuri laluan hutan dan sungai sejauh tujuh kilometer.

Tiba di destinasi dituju, tanpa membuang masa kaum lelaki Orang Asli Bateq terus membersihkan kawasan sekitar untuk membina khemah. Kaum wanita pula memancing ikan di sungai dan mengutip sayur-sayuran hutan untuk dijadikan malam malam sementara anak-anak kecil riang bermain.

Sebahagian anak-anak kecil dari perkampungan Orang Asli Bateq di Kuala Koh.
Sebahagian anak-anak kecil dari perkampungan Orang Asli Bateq di Kuala Koh.

Tiba waktu malam, ditemani hanya limpahan cahaya daripada unggun api, kami sempat melepaskan lelah buat seketika dan lebih manis apabila kami disajikan persembahan nyanyian sewang Orang Asli Bateq. Terhibur dengan rentak lagu mengasyikkan kami lupa sejenak sedang berada dalam dakapan hutan yang dihuni binatang liar.

Mungkin bagi orang di luar sana, tindakan lari ke dalam hutan bagi menghindar Covid-19 adalah sesuatu yang ganjil namun untuk komuniti kecil Orang Asli Bateq yang berjumlah 1,648 orang ia merupakan sebahagian amalan yang mereka warisi sejak zaman nenek moyang dahulu.

Anak kecil daripada komuniti Orang Asli Bateq tetap ceria walau terpaksa kuarantin di dalam hutan.
Anak kecil daripada komuniti Orang Asli Bateq tetap ceria walau terpaksa kuarantin di dalam hutan.

Menerusi video yang disiarkan pada 28 Ogos 2020 di portal berita Sinar Harian, Facebook Sinar Harian dan Youtube Sinar Harian ini kami turut mempertontonkan kebolehan Orang Asli Bateq berasimilasi dengan alam selain menyampaikan mesej betapa pentingnya semua pihak melindungi mereka.

Bagi kami, kemenangan ini merupakan satu pengesahan yang mengangkat kedudukan Orang Asli Bateq, walaupun jauh di ceruk hutan mereka mengajar kita erti semangat 'Yak Kan Putus Asak' terutama dalam mendepani cabaran Covid-19 hingga ke hari ini.

Kru bergambar kenangan bersama Orang Asli Bateq ketika selesai penggambaran pada waktu malam.
Kru bergambar kenangan bersama Orang Asli Bateq ketika selesai penggambaran pada waktu malam.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!