X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Omicron tiga kali ganda berpotensi akibatkan jangkitan semula

Data awal diperoleh daripada kebanyakan negara juga menunjukkan individu dijangkiti Omicron sudah menerima dos lengkap. - Foto Agensi
A
A

JOHANNESBURG - Kajian awal oleh penyelidik di Afrika Selatan yang diterbitkan pada Khamis menyatakan varian Omicron adalah tiga kali ganda berpotensi menyebabkan jangkitan semula Covid-19 berbanding strain Delta atau Beta.

Penemuan itu dibuat berdasarkan data dikumpulkan sistem kesihatan negara tersebut yang memberikan bukti epidemiologi pertama tentang keupayaaan Omicron untuk menghapuskan imuniti daripada jangkitan sebelumnya.

Data diperoleh sehingga 27 November lalu menunjukkan 35,670 kes jangkitan semula daripada 2.8 juta individu yang didiagnos positif.

Difahamkan, kes tersebut dianggap sebagai jangkitan semula jika individu tersebut disahkan positif dalam tempoh selang 90 hari.

“Jangkitan terbaharu ini berlaku pada individu yang pernah dijangkiti ketika fasa ketiga-tiga gelombang sebelum ini. Sebahagian besarnya adalah mereka yang dijangkiti ketika gelombang Delta,” kata Pengarah Pusat Kecemerlangan DSI-NRF di Analisis dan Permodelan Epidemiologi Afrika Selatan, Juliet Pulliam.

Beliau mendakwa penyelidikan itu bagaimanapun tidak memasukkan maklumat status vaksinasi individu untuk menentukan sama ada Omicron menjejaskan keberkesanan vaksin.

“Kajian lanjut juga diperlukan untuk menyenaraikan penyakit teruk yang ada kaitan dengan jangkitan Omicron termasuk individu dengan sejarah jangkitan terdahulu,” ujarnya.

Pakar di Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan di Pretoria, Anne von Gottberg sebelum ini juga meramalkan peningkatan kes secara luar biasa di kesemua wilayah di seluruh negara yang merujuk kepada peningkatan kes daripada 2,273 pada Isnin kepada 8,561 pada Rabu.

“Kami percaya vaksin sedia ada masih akan memberi perlindungan terhadap penyakit yang teruk. Vaksin sentiasa melindungi individu daripada penyakit yang teruk, risiko dimasukkan ke hospital dan kematian,” jelasnya.

Ketika ini, pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengulangi gesaan kepada negara antarabangsa supaya mempertimbangkan sekatan perjalanan yang dilaksanakan di hampir 60 negara.

“Kita masih tidak tahu asal usul sebenar Omicron walaupun ia dikesan di Afrika Selatan dan Botswana. Tindakan menghukum negara yang mengumumkan kemunculan varian itu adalah tidak adil,” kata Ambrose Talisuna. - AFP


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!