Streram dipilih sebab dinafi hak bertanding PRU14

Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Calon PH bagi PRK DUN Rantau, Dr S Streram dipilih bertanding semula pada PRK tersebut berikutan dinafikan hak untuk bertanding dalam PRU14 yang lepas.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi PH berkata, beliau berpegang kepada prinsip keadilan iaitu calon yang layak harus dibenarkan bertanding untuk menjadi wakil rakyat.

“Kita dapati bahawa calon dulu adalah orang tertentu kerana penipuan maka dia kalah. Sekarang didapati (keputusan) PRU di kawasan itu dibatalkan dan diadakan PRK untuk menentukan siapa sebenarnya yang patut jadi wakil rakyat di situ. Jadi orang yang lama diletakkan di situ.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK DUN Rantau: Dr S Streram wakil calon PH

"Kita pegang kepada prinsip, takkan dia lawan dengan bekas Menteri Besar, calon PH tidak besar macam calon BN. Kita terpaksa juga letak calon yang lama,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan Dr Streram gagal menjelaskan hutang berkaitan dengan PRK Rantau, Dr Mahathir berkata, selagi calon tidak bankrap mereka dibenarkan untuk bertanding meskipun mempunyai hutang.

"Kalau calon itu melanggar undang-undang dan tidak layak jadi calon, kita tidak akan letak dia. Tetapi setakat yang kita tahu walaupun ada hutang dia masih boleh jadi calon, lainlah kalau bankrap,” katanya.

Dr Streram tidak dibenarkan bertanding dalam PRU14 ekoran ketiadaan pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memasuki pusat penamaan calon dan lantaran itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, diumumkan menang tanpa bertanding kerusi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, pada 23 Mei tahun lepas, Dr Streram memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon pilihan raya DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya, Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Susulan itu, Mahkamah Khas Pilihan Raya pada 16 November memutuskan PRK DUN Rantau perlu diadakan serta-merta berikutan kemenangan Mohamad di kerusi itu adalah tidak sah dan terbatal.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata gabungan tenaga dan jentera PH yang kuat bakal memberi saingan yang sengit pada PRK Rantau 13 April ini.

“Kita akui perjalanan ke Rantau itu mungkin menghadapi satu cabaran yang besar sekiranya UMNO meletakkan calon Datuk Seri Mohamad Hasan kerana sudah pastilah beliau mempunyai kelebihan memandangkan statusnya sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan selaku wakil rakyat di kawasan tersebut (sebelum ini),” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu perkauman bakal dibangkitkan oleh pihak pembangkang pada kempen PRK Rantau, Azmin berkata ia merupakan survival parti itu.

“PH sentiasa berpegang kepada prinsip yang mahukan semua rakyat negara ini mendapat nikmat dari kemakmuran dan pembangunan negara.

“Kita akan berikan penjelasan beberapa inisiatif yang telah dilakukan oleh kerajaan dan kita berharap rakyat dapat menerimanya,” katanya. - Bernama