X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

'Pelanggan datang tapi tak beli'

Asmirul (tengah) dan Baharudin (kanan) berbual bersama Aman Shah (kiri) ketika pemantauan di Pasar Besar Alor Setar pada Jumaat.
A
A

ALOR SETAR - Peniaga di Pasar Besar Alor Setar dikhuatiri berdepan masalah kekurangan pelanggan sehingga 50 peratus akibat kenaikan harga barang basah terutamanya sayur-sayuran sejak bulan lepas.

Peniaga sayur, Siti Zuhairah Abd Rahim, 20, berkata, bilangan pelanggan kini makin berkurangan selepas kenaikan harga barangan khususnya sayur-sayuran.

"Adakalanya pelanggan nampak ramai namun tidak semuanya membeli dan ada yang datang sekadar melihat tanpa membeli apa-apa disebabkan sayur khususnya brokoli yang naik dari RM10 kepada RM18.

"Boleh dikatakan pelanggan berkurangan hampir 50 peratus sejak harga barangan naik," katanya ketika ditemui selepas pemantauan harga dan sumbangan barangan keperluan asas kepada peniaga Pasar Besar Alor Setar, di sini pada Jumaat.

Katanya, harga sayur-sayuran seperti timun yang naik dari RM3 kepada RM6 sekilogram, seleri dari RM13 kepada RM16, bunga kobis dari RM10 kepada RM18 masih tidak turun sejak hampir sebulan lepas.

Sementara itu, peniaga barangan runcit, Aman Shah Hashim, 60, berkata, hampir separuh barangan runcit seperti telur dan bawang yang mendapat permintaan, terus meningkat harganya.

"Boleh dikatakan semua naik termasuklah garam yang saya beli daripada pembekal. Tiada barangan yang menunjukkan penurunan harga setakat ini, yang turun hanya hujan," katanya.

Bagaimanapun, Aman Shah memberitahu, dia masih menjual barangan berkenaan pada harga sama walaupun harga barangan didapati naik mendadak.

"Selain isu kenaikan harga barangan, bekalan minyak masak peket didapati makin berkurangan dan susah didapati di pasaran," katanya.

Yang Dipertua Gabungan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (Gapema) Kedah, Baharudin Mohd Ali melahirkan kebimbangan ada pihak tertentu seperti pemborong mengambil kesempatan menaikkan harga.

"Disebabkan bekalan barangan sedikit namun permintaan banyak maka berlakunya kenaikan harga mendadak sehingga memberi kesan kepada pelbagai pihak," katanya.

Beliau mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan pemantauan ke atas pemborong besar barangan mentah seperti telur dan ayam ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris berkata, beliau mendapati harga barangan mentah khususnya sayur-sayuran naik antara 10 hingga 80 peratus.

Sehubungan itu, Asmirul mencadangkan kerajaan membentuk jawatankuasa kos sara hidup dianggotai wakil dari beberapa kementerian bagi meneliti isu kenaikan harga barangan itu.

Katanya, antara kementerian dicadangkan ialah KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

"Masalah kenaikan harga barangan dikhuatiri tidak terkawal, sekali gus memerlukan campur tangan dan kerjasama pelbagai kementerian untuk mengatasi isu itu untuk kepentingan rakyat," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!