Kes baharu HIV di Pahang turun 70 peratus

DR NOR AZIMI
DR NOR AZIMI
A
A
A

KUANTAN - Kes HIV baharu di negeri ini menunjukkan penurunan drastik 70 peratus dalam tempoh 20 tahun.

Sebanyak 124 kes direkodkan sehingga September tahun ini berbanding 474 kes pada 2001.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, dianggarkan 71 peratus daripada kes HIV baharu di negeri ini terdiri individu berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Menurutnya, dalam tempoh julat usia itu, individu terlibat sepatutnya berada dalam proses pembelajaran, pekerjaan dan pembinaan keluarga.

"Malangnya, mereka menjadi mangsa jangkitan HIV/AIDS sekaligus merencatkan proses tersebut bukan sahaja fizikal, tetapi psikologi dan sosioekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Aids Sedunia 2021 Peringkat

Negeri Pahang secara dalam talian menerusi 'live' Facebook JKN Pahang pada Khamis.

Dr Nor Azimi berkata, program HIV/AIDS sedia ada tetap diteruskan di semua fasiliti kesihatan di negeri ini walaupun ketika ini tumpuan diberikan kepada usaha memerangi pandemik Covid-19,

Artikel Berkaitan:

"Program tersebut tetap diteruskan walaupun petugas kesihatan terlibat dalam aktiviti pencegahan dan klinikal melibatkan HIV/AIDS ini mereka yang sama dalam penugasan Covid-19.

"Pelbagai aktiviti pencegahan, kawalan dan rawatan telah dijalankan di negeri Pahang bermula dari awal pengesanan penyakit itu di negeri ini sejak tahun 1989 sehingga kini," katanya.

Tambah beliau, banyak perubahan positif berlaku hasil usaha yang berterusan.

"Bagaimanapun, sehingga kini istilah HIV/AIDS menjadi satu stigma yang digeruni kerana implikasi buruk penyakit itu kepada kesihatan seseorang individu.

"Sungguhpun wabak ini telah melanda sejak tiga dekad lamanya namun isu stigma dan diskriminasi terhadap penghidap HIV/AIDS masih wujud," katanya.

Tambah beliau, mereka yang hidup dengan penyakit itu masih menghadapi stigma dan diskriminasi masyarakat, keluarga dan rakan di tempat kerja.

"Isu ini juga tidak terkecuali berlaku dalam persekitaran penjagaan kesihatan yang sepatutnya berfungsi memberikan rawatan, penjagaan dan sokongan kepada golongan tersebut.

"Ia akhirnya menyumbang kepada faktor utama yang menghalang golongan berisiko untuk tampil menjalani ujian dan rawatan walau disediakan secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan," katanya.

Dr Nor Azimi berkata, masyarakat perlu diberi pengetahuan dan kesedaran mengenai penyakit itu secara input keagamaan dan pengetahuan klinikal seperti yang dilaksanakan melalui sambutan Hari Aids sedunia setiap tahun.

Beliau turut memberitahu, selaras dengan visi Pelan Strategik Kebangsaan bagi Menghapuskan Aids 2030 iaitu sifar kes baru HIV, sifar kematian disebabkan AIDS dan sifar diskriminasi, kerjasama dan komitmen dari semua pihaK termasuk kerajaan atau bukan kerajaan, amat diperlukan.

"Sesuai dengan tema sambutan tahun ini, ‘Akhiri Ketaksamarataan, Akhiri Aids, Akhiri Pandemik’, semua pihak termasuk golongan berisiko dan masyarakat perlu bersama dalam usaha merealisasikan visi ini," katanya.