X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

Memorandum KBS: 17 belia dirakam keterangan

Mohd Imran ketika ditemui pemberita di pekarangan IPD Putrajaya.
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 17 ahli Majlis Belia Malaysia (MBM) dipanggil untuk merakam percakapan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada Isnin bagi membantu siasatan penyerahan memorandum kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Presiden Majlis Kerja Tertinggi Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, kesemua belia yang telah dikenalpasti dipanggil memberi keterangan secara berasingan.

Menurutnya, proses merakam percakapan bermula jam 2 hingga 5 petang.

"Proses tersebut berjalan lancar dan mereka yang terlibat telah memberikan kerjasama baik.

"Antara yang dipanggil adalah Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha dan Pemangku Presiden 4B, Fahmi Asyrof Badaruddin, wakil belia orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan IPD Putrajaya, dekat sini pada Isnin.

Mohd Imran berkata, pada Khamis lalu, pihaknya hanya merancang untuk menyerahkan memorandum dan tiada langsung hasrat atau niat melakukan apa-apa yang boleh ditakrifkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Seramai 60 peserta terdiri daripada gabungan belia berhimpun di luar pekarangan lobi utama KBS, Presint 3 dan di hadapan balai pengawal utama, Bangunan Perdana Putra pada Khamis untuk menyerahkan memorandum bantahan penurunan had umur memegang jawatan di dalam persatuan belia kepada 30 tahun.

Isu berkenaan mula tercetus apabila bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan usul pindaan Akta Pertubuhan Belia 2007 pada tahun 2019.

Namun, cadangan berkenaan dibantah pelbagai organisasi belia tempatan kerana had usia itu diturunkan daripada 40 tahun kepada 30 tahun berbanding cadangan asalnya hanya setakat 35 tahun.

Seterusnya, ia tidak dilaksanakan ketika Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diterajui Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Bagaimanapun, dalam sidang Parlimen pada Rabu lalu, Ahmad Faizal mengumumkan pelaksanaan umur 30 tahun ke bawah bagi pemegang jawatan pertubuhan belia akan berkuat kuasa bermula 1 Januari ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!