KL City lebih selesa diletakkan sebagai pasukan bukan pilihan

Bojan Hodak
Bojan Hodak
A
A
A

KETUA Jurulatih Kuala Lumpur (KL) City Bojan Hodak lebih selesa dengan pasukannya yang dilabelkan sebagai bukan pilihan, dalam usaha mereka memberikan kejutan terhadap Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada Selasa malam.

Hodak yang pernah melatih JDT pada musim 2014 berkata, atas kertas pasukan Harimau Selatan yang mempunyai kelebihan tersendiri, layak untuk menjadi pilihan memenangi perlawanan akhir ulang tahun ke-100 kejohanan berprestij itu.

Jurulatih dari Crotia berusia 50 tahun itu merasakan situasi ini memberikan kelebihan kepada KL City FC kerana mereka bebas daripada sebarang tekanan, dan ini menjadikan lebih mudah untuk anak buahnya bermain di sepanjang 90 minit masa permainan.

“Saya tahu akan ada banyak masalah, kedua-dua pasukan agak terikat, terutamanya kami kerana kami tidak mempunyai dua skuad, kami tidak mempunyai 10 pemain import seperti mereka. Ini akan memberikan masalah fizikal untuk kami pada perlawanan ini, tiada sesiapa yang boleh jadi penat, setiap orang akan bermain mati-matian dan berikan yang tebaik.

“Saya berharap ia akan menjadi permainan yang bagus dan berharap akan keputusan yang positif. Tiada tekanan untuk kami kerana mereka pasukan paling kaya, bajet mereka 20 kali ganda, pemain dan fasiliti terbaik, jadi tiada tekanan untuk kami,” katanya pada sidang akhbar sebelum perlawanan di sini pada Isnin.

Pada masa sama, Hodak juga merasakan sentimen peminat bola sepak tempatan, mahu melihat KL City FC, yang dahulu dikenali sebagai Kuala Lumpur FA memenangi kejohanan itu, selepas kali terakhir memenanginya 32 tahun lepas pada edisi 1989.

“Semua anggap mereka akan menang, tetapi mungkin yang lain-lain di Malaysia menyokong kami, kerana kami bukan pilihan dan ia agak mudah untuk bermain,” katanya sambil memaklumkan hanya D Kenny Pallraj dan Zhafri Yahya yang belum pasti dapat diturunkan, susulan masih melalui proses pemulihan kecederaan.

Sementara itu, pemain veteran KL City, FC Muhammad Shukor Adan yang mengambil keputusan untuk ‘menggantung kasut’ selepas perlawanan final, menganggap kejuaraan Piala Malaysia adalah hadiah persaraan terbaik untuk dirinya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Shukor, 42, bekas pemain pertahanan dan tengah skuad kebangsaan dan pernah beraksi di beberapa edisi final Piala Malaysia sebelum ini berkata, beliau tidak pernah menyangka untuk sekali lagi menjejakkan kaki ke pentas akhir pertandingan berprestij itu.

“Di usia 42 tahun saya tidak sangka untuk bermain di final dan saya berterima kasih kepada Bojan (Hodak) kerana walaupun mempunyai kurang minit permainan, tetapi masih mempercayai saya untuk bersama pasukan hingga ke final.

“Perlawanan akhir ini akan menjadi aksi terakhir saya sebagai seorang pemain bola sepak dan apa sahaja yang saya telah capai sepanjang karier, dan saya berbangga untuk menjadi sebahagian daripada pasukan KL City FC musim ini,” katanya.

JDT muncul juara Piala Malaysia sebanyak dua kali pada 2017 dan 2019 sejak penubuhan kelab itu pada 2013, sementara ini final pertama buat KL City FC yang ditubuhkan tahun lepas.

Kuala Lumpur FA pernah mencipta kejuaraan hatrik Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989 dengan ketiga-tiganya menumpaskan Kedah. - Bernama