RM7.1 juta dikumpulkan menerusi Tabung Covid-19

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak RM7.1 juta sumbangan telah dikumpul menerusi Tabung Covid-19 yang ditubuhkan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam berdepan pandemik Covid-19.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sumbangan itu diterima daripada pelbagai pihak termasuklah jabatan atau agensi kerajaan negeri, badan berkanun negeri, anak syarikat kerajaan negeri, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu.

“Setakat ini, kira-kira RM2.55 juta daripada sumbangan itu telah dibelanjakan bagi menangani isu berkaitan Covid-19 dengan baki kira-kira RM4.6 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Afif Bahardin (Bersatu-Seberang Jaya) pada Sidang Dewan Undangan Negeri, di sini pada Isnin.

Kon Yeow berkata, selain tabung itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM195 juta untuk pelbagai pakej insentif kepada rakyat sejak bermulanya pandemik tersebut.

Jelasnya, kerajaan negeri juga menerima peruntukan daripada agensi kerajaan Persekutuan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan sebagainya untuk mengendalikan pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) serta banyak lagi.

“Kerajaan negeri sudah semestinya akan menggunakan baki daripada tabung ini untuk tujuan dimaksudkan,” katanya.

Artikel Berkaitan: