Empat notis kepada peniaga sayur

Pegawai KPDNHEP menjalankan siasatan berhubung kenaikan harga sayuran dalam Ops Pasar yang bermula pada Sabtu. - FOTO Ihsan KPDNHEP==
Pegawai KPDNHEP menjalankan siasatan berhubung kenaikan harga sayuran dalam Ops Pasar yang bermula pada Sabtu. - FOTO Ihsan KPDNHEP==
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang mengeluarkan empat notis terhadap peniaga sayur ketika Ops Pasar pada Sabtu.

Pengarahnya, Datuk Mark Ujin berkata, notis pengesahan maklumat barangan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 itu dikeluarkan susulan kenaikan harga sayuran di negeri ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kenaikan harga melibatkan sayur import.

"Kebergantungan terhadap bekalan sayur import di Pahang terlalu tinggi iaitu mencecah 70 peratus berbanding hanya 30 peratus sahaja permintaan pengguna untuk hasil ladang tempatan di negeri ini.

"Kita akui bekalan sayur-sayuran tempatan terjejas disebabkan faktor perubahan cuaca negara ketika ini tetapi ia tidak menyumbang kepada kenaikan harga sayur yang melampau di pasaran," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau menjelaskan bekalan sayur import kebanyakan diperoleh melalui Pasar Borong Selayang.

Tambahnya, hasil tuaian di ladang sayur tempatan juga memasuki peringkat akhir tanaman dan tiada tanaman semula sehingga tamat musim tengkujuh.

"Kita juga dimaklumkan berlaku masalah kekurangan pekerja di ladang sayur tempatan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

"Selain pembukaan semula sektor sosial telah melonjakkan permintaan sayur berbanding penawaran bekalan," katanya.

Mark memaklumkan, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan, pemeriksaan dan penguatkuasaan di semua lokasi penjualan dan perbekalan sayur-sayuran.

Beliau turut mengingatkan peniaga agar tidak menangguk di air keruh dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan kelestarian perdagangan di negeri ini.

"Kita menyeru pengguna bertindak menjadi mata dan telinga KPDNHEP dengan melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdagangan dan juga isu kepenggunaan.

"Pelbagai medium penyaluran aduan telah disediakan bagi memudahkan pengguna mengemukakan aduan berhubung isu bekalan, harga dan salah laku peniaga yang tidak beretika," ujarnya.

Dalam pada itu, Mark menjelaskan pihaknya mengeluarkan kompaun sebanyak RM372,050 terhadap premis perniagaan dalam tempoh 11 bulan tahun ini.

Katanya, kompaun itu dikeluarkan hasil daripada 650 kes membabitkan pelbagai kesalahan terhadap 50,551 premis perniagaan.