Sektor koperasi sumbang RM41.45 bilion ekonomi negara tahun lalu

Mohd Shahar ditemani Kamaruzzaman ketika merasmikan majlis pecah tanah tapak stesen minyak shell milik Koperasi Serbaguna Felda Bukit Goh Berhad di Kotasas pada Ahad.
Mohd Shahar ditemani Kamaruzzaman ketika merasmikan majlis pecah tanah tapak stesen minyak shell milik Koperasi Serbaguna Felda Bukit Goh Berhad di Kotasas pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN- Sektor koperasi negara masih berjaya mencatatkan perolehan sebanyak RM41.45 bilion sepanjang tahun lalu biarpun berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Ushawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, perolehan disumbangkan oleh 14,629 koperasi itu telah meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menerusi pelbagai aktiviti ekonomi.

Menurutnya, di Pahang pula terdapat 1,308 koperasi dengan melibatkan keanggotaan seramai 303,535 orang.

"Saya lihat koperasi di Pahang juga mencatatkan perolehan pendapatan sekitar RM415 juta dan jumlah aset pula direkodkan sebanyak RM1.6 bilion sehingga 30 Jun lalu.

"Perolehan seperti ini menunjukkan bahawa koperasi masih mampu bertahan dan dapat meneruskan aktiviti ekonomi sedia ada walaupun terkesan dengan wabak Covid-19," katanya pada majlis pecah tanah tapak stesen minyak shell milik Koperasi Serbaguna Felda Bukit Goh Berhad di Kotasas pada Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politik Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Kamaruzzaman Johari.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah.

Noh berkata, koperasi diminta untuk mempelbagaikan aktiviti yang boleh menjana keuntungan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sektor itu boleh mencontohi usaha yang dilakukan oleh Koperasi Serbaguna Felda Bukit Goh dalam mempelbagaikan penjanaan pendapatan mereka.

Katanya, sebelum ini, koperasi tersebut sudah mempunyai sebuah stesen minyak jenama Petron yang terletak di kawasan Felda Bukit Goh.

"Kali ini, koperasi itu akan membuka satu lagi stesen minyak di Kotasas dan pembinaannya akan dimulakan dalam tempoh terdekat serta dijangka siap pada suku kedua tahun hadapan.

"Koperasi itu, akan memperoleh anggaran jualan sebanyak RM1.3 juta sebulan kerana lokasinya strategik dan agak jauh daripada stesen minyak yang lain," katanya.