X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 24 Januari 2022

Kekerapan penerbangan MASwings libatkan Limbang kembali 1 Disember

Foto fail Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kekerapan penerbangan MASwings bagi semua laluan melibatkan Limbang di Sarawak dijangka kembali seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda, bermula 1 Disember ini.

Ketika ini, perkhidmatan udara dari dan ke Limbang terjejas serta terpaksa dikurangkan kerana isu sempadan negara membabitkan Malaysia dan Brunei yang ditutup berikutan pandemik itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kekerapan penerbangan itu adalah seperti yang dipersetujui Perjanjian Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO) Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) dan kerajaan akan sentiasa membuat semakan semula dari semasa ke semasa melibatkan RAS bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

“Berikutan ancaman Covid-19, memang ada terjejas sedikit (kekerapannya) kerana negara jiran (Brunei menutup sempadan). Jumlah penerbangan kurang, contohnya untuk satu minggu, Miri-Limbang hanya 14 sahaja daripada 21 (sebelum ini).

“Bermula 1 Disember (Rabu) ini kita kembali normal (bagi kekerapan penerbangan). Maknanya, dalam seminggu, kekerapan laluan ke Miri-Limbang akan kembali menjadi 21, Kuching-Limbang (3), Limbang-Lawas (2), Kota Kinabalu-Limbang (3). Harapan kita mudah-mudahan keadaan kembali normal dan sempadan dibuka. Cuma mungkin akan ada syarat-syarat atau prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang dikeluarkan oleh Malaysia dan Brunei,” kata Ahli Parlimen Limbang itu dalam satu temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata, kerjasama baik kerajaan negeri dan Persekutuan bersama kerajaan Brunei sentiasa terjalin memandangkan penerbangan ke daerah lain dari Limbang memerlukan penumpang memasuki sempadan negara Brunei.

Mengenai harga tiket penerbangan domestik yang meningkat secara mendadak ketika ini, Hasbi yang mengambil maklum suara rakyat berharap kerajaan akan menurunkan harga tiket apabila kekerapan penerbangan kembali seperti biasa mulai 1 Disember.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen itu berkata sejumlah RM39.77 juta diperuntukkan untuk kawasan Limbang melibatkan 12 projek dan 131 subprojek bagi tahun ini.

“Antara projek yang terlibat adalah pembinaan 20 unit Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan 76 unit baik pulih rumah PPRT serta 29 projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) bernilai RM11.3 juta,” katanya.

Beliau berkata, bagi tahun depan pula, RM15.22 juta diperuntukkan untuk kawasan Parlimennya melibatkan 13 projek dan 101 subprojek, antaranya pembinaan GiatMara Limbang bernilai RM3.1 juta, dua projek Bekalan Air Luar Bandar bernilai RM4.3 juta dan dua projek Jalan Luar Bandar bernilai RM3.05 juta. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!