X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Mohan, Murugiah kekal Naib Presiden MIC, Asojan muka baharu

A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Datuk T Mohan dan Datuk T Murugiah masing-masing mempertahankan jawatan Naib Presiden MIC, manakala Datuk M Asojan muncul sebagai muka baharu jawatan berkenaan pada permilihan barisan kepimpinan tertinggi parti itu bagi penggal 2021-2024.

Berdasarkan kertas keputusan pengundian yang diedarkan kepada media pada Sabtu, Mohan berjaya mengekalkan jawatan itu dengan memperoleh sebanyak 11,586 undi, Murugiah (9,139) dan Asojan (8,703) undi. Asojan sebelum ini merupakan Setiausaha Agung MIC.

Tiga lagi calon yang bertanding kerusi naib presiden pada pemilihan kali ini, termasuk seorang lagi penyandang, Datuk C Sivaraajh, Setiausaha Eksekutif, A K Ramalingam dan Ketua Penerangan MIC, Datuk V Gunalan.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan ketika mengumumkan keputusan itu di Ibu Pejabat MIC di sini berkata, Ramalingam memperoleh 7,102 undi, Sivaraajh (4,589) dan Gunalan 3,223 undi.

Proses pengundian jawatan tiga naib presiden dan 21 ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti berusia 75 tahun itu berlangsung jam 4 petang Jumaat, membabitkan lebih 20,000 perwakilan MIC dari 140 Bahagian seluruh negara. -

Sementara itu, 21 ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti yang turut diumumkan bagi penggal 2021-2024 antaranya ialah bekas Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalananthan, Datuk S M Muthu, Datuk N Muneandy, Datuk Subramaniam Karuppiah, Gunaselan Rajoo, D Tharma Kumaran dan M Veeran.

Mohan ketika ditemui pemberita berkata, undian tertinggi yang diperolehnya dalam pemilihan parti kali ini membuktikan keyakinan ahli-ahli parti terhadap kepimpinannya.

Justeru katanya beliau bertekad untuk terus memberikan khidmat terbaik kepada parti dan rakyat melalui kerjasama pemimpin tertinggi MIC yang lain.

“Ini penting kerana sokongan masyarakat India kepada MIC mulai meningkat berdasarkan kemampuan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek pada Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) 20 November lepas. Saya percaya apabila parti kuat, rakyat akan percaya (berasa yakin) kepada parti,” katanya.

Murugiah pula menyifatkan kemenangannya kali itu sebagai ‘isyarat’ bahawa ahli parti mahukan kepimpinan baharu dan berwibawa supaya lebih banyak usaha dapat dilakukan bagi membantu rakyat yang memerlukan.

Bagi Asojan, peluang sebagai naib presiden parti akan digunakan sebaiknya bagi memperkukuhkan jentera parti agar dapat merampas kembali kerusi-kerusi Parlimen dan DUN yang gagal dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Dengan pengalaman saya sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir selama tiga penggal dan juga sebagai bekas Exco kerajaan Johor, saya akan memastikan kita (jentera MIC) turun padang meraih sebanyak mungkin sokongan bagi memenangi PRU15,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!