Kerajaan masih teliti model pengoperasian Hospital Cyberjaya

Khairy Jamaluddin (kanan) menandatangani plak perasmian pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Klinik Kesihatan Kapar pada Sabtu. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Mohd Shafiq Abdullah (kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Keluarga Negeri Selangor Dr Siti Mariah Mahmud (dua, kiri). - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin (kanan) menandatangani plak perasmian pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Klinik Kesihatan Kapar pada Sabtu. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Mohd Shafiq Abdullah (kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Keluarga Negeri Selangor Dr Siti Mariah Mahmud (dua, kiri). - Foto Bernama
A
A
A

KAPAR - Kementerian Kesihatan akan membuka permintaan untuk cadangan (RFP) bagi model pengoperasian Hospital Cyberjaya kepada pakar dan juga syarikat-syarikat perubatan swasta, termasuk cadangan bagi perolehan perkhidmatan kepada penduduk Cyberjaya yang layak pada kadar hospital kerajaan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, rangka bagi RFP itu telah pun siap dan pihaknya pasti akan mengambil masa untuk meneliti semua cadangan yang akan dihantar.

“Dalam model pengoperasian dalam cadangan itu, kerajaan mungkin akan pertimbangkan perolehan perkhidmatan kepada penduduk Cyberjaya,” pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan dan Perasmian Klinik Kesihatan Kapar di sini pada Sabtu.

“Sekarang ini ada pelbagai model diguna pakai iaitu hospital kerajaan, hospital swasta dan hospital hibrid iaitu ia hospital swasta, tetapi kerajaan boleh memperoleh perkhidmatan untuk golongan tertentu mendapat rawatan, itu antara model yang difikirkan,” katanya.

Pada masa yang sama Khairy berkata, Hospital Putrajaya juga akan menambah 250 katil yang akan meningkatkan kapasiti hospital itu dan juga boleh memberi perkhidmatan kepada penduduk Cyberjaya.

Khairy berkata demikian bagi mengulas status operasi Hospital Cyberjaya yang dilakukan secara kerjasama awam-swasta berkonsepkan ‘leasing’ yang diputuskan kerajaan pada 5 Mei lepas.

Mengenai Klinik Kesihatan Kapar, Khairy berkata, ia akan mula beroperasi awal tahun hadapan, antara lain menawarkan perkhidmatan Klinik Perubatan Keluarga dengan dua pakar, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Klinik Warga Sihat, Klinik Pergigian, serta dilengkapi kuarters untuk kakitangan.

Selain itu menurut beliau, projek Hospital Kapar dijangka akan mula dibina pada tahun hadapan, dan dijangka siap dalam masa empat ke lima tahun akan datang bagi menampung keperluan penduduk sekitar kawasan tersebut, serta mengurangkan kesesakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

Dalam isu lain, katanya, sebanyak 528 daripada 2,859 klinik kesihatan atau fasiliti kesihatan kerajaan, dikenal pasti berisiko menghadapi banjir dan Jabatan Kesihatan Negeri diingatkan untuk membuat persiapan dan penilaian risiko, sebagai usaha memastikan jumlah kerosakan dapat diminimakan.

“Kalau berlaku banjir yang teruk dan tidak dapat dielakkan, biasanya klinik yang berhampiran akan mengambil alih perkhidmatan klinik yang terjejas,” katanya.

Khairy juga berkata, kos ujian saringan Covid-19 di peringkat sekolah rendah yang perlu dijalankan secara rawak setiap minggu, akan dibiayai Kementerian Pendidikan. - Bernama