X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Sistem Digitalisasi Bestar 2.0 bantu pelajar lulus SPM

Majid (dua kanan) dan Mohammad Rosli (kanan) menyerahkan plak kepada SMK Beserah yang dijadikan hab digitalisasi pendidikan Badan Amal Pendidikan Pahang pada Majlis Perasmian Sistem Digitalisasi Bestar 2.0 di Dewan BTPN, pada Sabtu.
A
A

KUANTAN - Badan Amal Pendidikan Pahang mengorak langkah membangunkan Hab Digitalisasi melalui Sistem Digitalisasi Program Beserah Star (Bestar) 2.0 untuk manfaat pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini.

Melalui program itu, sebuah studio rakaman berteknologi tinggi dilengkapi fasiliti 'lightboard' dibangunkan sebagai salah satu komponen dalam program digitalisasi itu.

Penasihat Badan Amal Pendidikan Pahang, Datuk Majid Mohamad berkata, pada masa sama latihan turut diberikan kepada para guru bagi meningkatkan ilmu dan kompetensi dalam

amalan terbaik pengajaran dan pembelajaran dalam talian (PdP-DT) serta teknologi terkini PdP-DT semasa era pandemik.

Menurut beliau, program itu merupakan lanjutan Program [email protected] yang diperkenalkan pada 2017 yang asalnya lebih tertumpu dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di kawasan Beserah.

"Memandangkan terdapat permintaan dalam kalangan guru mata pelajaran lain, program ini telah dikembangkan terutama bagi subjek wajib lulus SPM.

"Kita mengorak langkah memperkasakan program ini melalui penggunaan teknologi baharu secara digital yang boleh diakses pelajar pada bila-bila masa dan di mana sahaja melalui platform dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sistem Digitalisasi Bestar 2.0 di Dewan Utama Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Pahang (BTPN) di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman dan Pengerusi Badan Amal Pendidikan Negeri Pahang, Dr Raihan Musa.

Majid berkata, inisiatif melalui kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP), Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang dan Skillseed Sdn Bhd itu kini dalam peringkat percubaan namun sudah boleh diakses pelajar.

"Melalui inisiatif ini, manfaatnya bukan hanya kepada pelajar di Beserah malah kepada pelajar di Pahang dan seluruh negara khususnya.

"Kita ingin lihat, melalui usaha ini akan membantu pelajar lulus SPM dan berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, Raihan menjelaskan, pihaknya juga membangunkan platform media sendiri melalui aplikasi Exploria TV untuk memuat naik kandungan video pembelajaran yang disediakan guru.

"Platform Exploria TV ini sudah boleh dilayari dan akan ditingkatkan aspek persembahan serta kandungan secara berperingkat," katanya.

Ujar beliau, pada masa sama kandungan pembelajaran yang dihasilkan turut dimuat naik ke platform media sedia ada seperti YouTube selain ke pautan Perbadanan Perpustakaan Negeri Pahang.

"Kita akan gunakan khidmat guru mata pelajaran yang berpengalaman untuk berkongsi teknik menjawab soalan dan kelas tambahan sama ada melalui rakaman video atau secara langsung melalui platform media sosial.

"Sebab itu kita bangunkan studio berteknologi tinggi yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beserah bagi membantu guru menghasilkan kandungan video pembelajaran yang berkualiti dan menarik," katanya.

Tambah beliau, keadah pembelajaran secara dalam talian itu penting ketika fasa pandemik bagi membantu pelajar mengulang kaji mata pelajaran yang tertinggal.

"Melalui kaedah ini, pelajar boleh mengikuti video pembelajaran bab-bab mata pelajaran tertentu pada bila-bila masa bagi membantu mereka memahami dan menguasainya," jelas beliau.

Tambah Raihan berkata, secara mudahnya Sistem Digitalisasi Bestar 2.0 itu satu proses perubahan daripada sesi pembelajaran bersemuka kepada keadah normal baharu secara dalam talian.

Menurutnya, selain pembangunan hab digitalisasi, tuisyen percuma dan seminar teknik menjawab soalan, bantuan sara hidup pelajar antara elemen dalam inisiatif itu.

"Melalui inisiatif ini, kita menyediakan bantuan peranti kepada pelajar kurang berkemampuan supaya mereka boleh mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

"Setakat ini kira-kira 70 peranti ( telefon pintar) disumbangkan kepada pelajar terlibat dan pemberian komputer riba kepada guru," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!