X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Pengangguran di Perak melonjak 4.8 peratus

Saarani Mohamad
A
A

IPOH - Kadar pengangguran di negeri Perak melonjak kepada 4.8 peratus dalam tempoh dua tahun berbanding 3.5 peratus pada tahun 2019.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pada tahun 2019 seramai 37,500 orang penganggur di negeri ini, tetapi pada tahun lalu jumlah tersebut meningkat kepada 53,000 orang.

Menurutnya, peningkatan tersebut berlaku disebabkan penutupan beberapa buah syarikat yang menerima impak daripada penularan wabak Covid-19.

"Memahami keadaan dan keperluan semasa ini, kerajaan negeri di bawah agensi pelaksana Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah melaksanakan beberapa program termasuklah Program Transformasi Pekerjaan (Work-Pro), Program Latihan Modular Industri, Program PenjanaKerjaya, Program Subsidi Upah dan pelbagai program melibatkan kerjaya bagi membantu rakyat di Perak mengurangkan jurang pengangguran dalam negeri.

"Alhamdulillah, pada tahun ini, walaupun dalam keadaan situasi ekonomi yang masih lagi belum pulih sepenuhnya, kita dapat melihat perubahan positif di mana trend pengangguran telah mula menyusut kepada 4.4 peratus pada suku kedua tahun 2021 apabila lebih banyak sektor perindustrian dan perniagaan dibenarkan untuk beroperasi," katanya dalam ucapan perasmian program Perak E-Career Carnival (PECC) secara maya pada Sabtu.

Ucapan beliau dibacakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Ahmad Saidi membacakan ucapaan Saarani pada perasmian program Perak E-Career Carnival (PECC) secara maya pada Sabtu.
Ahmad Saidi membacakan ucapaan Saarani pada perasmian program Perak E-Career Carnival (PECC) secara maya pada Sabtu.

Saarani berkata, kerajaan negeri sentiasa optimis dan akan terus melipat gandakan usaha agar lebih banyak peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada rakyat.

Beliau berkata, bagi memacu ekonomi negeri, kerajaan sedang giat berusaha untuk menarik pelabur-pelabur sama ada dari dalam dan luar negara untuk bertapak di Perak.

"Antara usaha yang sedang dilaksanakan adalah membangunkan Projek Silver Valley Technology Perak (SVTP) yang merupakan projek pembangunan strategik berimpak tinggi dan dijangka mampu menarik pelaburan bernilai kira-kira RM14 bilion di samping mewujudkan lebih 13,000 peluang pekerjaan.

"Sebagai persediaan, kita perlu memastikan negeri Perak mampu melahir dan menyediakan tenaga kerja yang secukupnya bagi memenuhi kehendak serta permintaan pasaran industri," katanya.

Mengenai penganjuran PECC, Saarani berkata, karnival secara dalam talian itu membuka lebih 5,000 peluang pekerjaan dengan penglibatan daripada 30 buah syarikat untuk ditawarkan kepada para pencari kerja.

Menurutnya, menerusi kerjasama rakan kolaborasi daripada pelbagai agensi dan persatuan industri Perak, lebih ramai pencari kerja yang akan ditawarkan pekerjaan oleh syarikat yang menyertai karnival kerjaya ini.

Beliau berharap, semua pencari kerja di seluruh Perak dapat menggunakan peluang tersebut sebaiknya untuk menempatkan diri ke dalam pasaran.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!