X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 24 Mei 2022

KBBM bantu pulihkan perniagaan yang 'lumpuh' akibat Covid-19

Noryati menunjukkan produk kuih bekang dan produk lain keluarannya semasa ditemui di premisnya di Kuala Ibai. - Foto Bernama
A
A

KUALA TERENGGANU - Pandemik Covid-19 yang melanda bukan sahaja menjejaskan peniaga kecil malah turut memberi tempias kepada empayar perniagaan yang telah kukuh terbina selama beberapa generasi.

Tidak terkecuali perusahaan makanan tradisional jenama ‘Bekang Tok Minoh’ yang bertapak dalam dunia perniagaan sejak lebih 80 tahun lepas, terpaksa ditutup hampir dua tahun ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Pengusahanya, Noryati Alias, 59, berkata, bagaimanapun, beliau bersyukur kerana pada saat ‘kejatuhannya’, kerajaan melalui pelbagai medium termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa prihatin dan menyediakan bantuan bagi memulihkan perniagaannya.

Antaranya melalui Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang dilaksanakan KPDNHEP telah membantu memperkenalkan semula produk kuih bekangnya kepada pembeli setelah sekian lama tidak beroperasi.

“Saya tidak mempunyai kios jualan sendiri dan hanya letak kuih di pasar raya tempatan dan kedai-kedai di sekitar Kuala Terengganu sahaja. Jadi melalui KBBM banyak karnival diadakan di pasar raya terkemuka dan ini merupakan peluang untuk usahawan seperti saya memperkenalkan produk kepada pelanggan-pelanggan baharu.

“Apabila saya menyertai karnival jualan seperti KBBM, bukanlah nilai jualan semata-mata yang diharapkan. Cukuplah sekadar dapat membayar upah pekerja yang menjaga gerai di karnival. Tujuan utama adalah untuk meluaskan rangkaian kenalan.

“Bukan setakat jual pada harga murah malah saya juga memberi kuih bekang dan kuih lain secara percuma kepada orang ramai yang mengunjungi gerai di karnival kerana saya percaya sekiranya mereka menyukai kuih yang saya beri pastinya mereka akan datang kembali kepada saya (untuk membeli),” katanya.

Noryati menyediakan kuih bekang semasa ditemui di premisnya di Kuala Ibai. - Foto Bernama
Noryati menyediakan kuih bekang semasa ditemui di premisnya di Kuala Ibai. - Foto Bernama

Noryati berkata, melalui KBBM yang pernah disertainya pada 24 hingga 27 September 2020 di Kuala Terengganu City Center Mall (KTCC) di sini, beliau juga dapat menyaksikan masih ramai masyarakat termasuk golongan muda meminati kuih tradisional Terengganu itu.

Menceritakan mengenai latar belakang perniagaannya, Noryati berkata, pada 2015 beliau mengambil alih sepenuhnya perniagaan kuih bekang yang diasaskan arwah neneknya, Minoh Salleh.

Sejurus itu, beliau mengembangkan jenama ‘Bekang Tok Minoh’ dengan memasarkannya di rangkaian kedai runcit dan pasar raya serta menghasilkan pelbagai produk makanan tradisional seperti rendang ayam, ketupat palas dan pes rendang.

“Bagi memastikan peminat makanan tradisional dapat menikmati kuih ‘Bekang Tok Minoh’ pada bila-bila masa, saya turut menghasilkan produk dalam bentuk sejuk beku dan pelanggan hanya perlu kukus atau panaskan semula dalam ketuhar gelombang mikro,” katanya yang bercita-cita ingin membuka francais jenama ‘Bekang Tok Minoh’ suatu hari nanti.

Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, KBBM yang sering dilaksanakan bersama dengan Program Jualan Malaysia (PJM) merupakan inisiatif kerajaan dalam merancakkan semula perniagaan terutama industri kecil dan sederhana yang terjejas ekoran penularan Covid-19.

Noryati melakukan proses pembungkusan kuih bekang semasa ditemui di premisnya di Kuala Ibai. - Foto Bernama
Noryati melakukan proses pembungkusan kuih bekang semasa ditemui di premisnya di Kuala Ibai. - Foto Bernama

Katanya, selain penganjuran KBBM dan PJM pada 24 hingga 27 September 2020, kementerian turut menganjurkan Jelajah ‘Franchise Bay’ Peringkat Negeri Terengganu pada 8 hingga 10 April tahun ini dan Program Citarasa Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Terengganu pada 11 hingga 14 November lepas di KTCC.

Beliau berkata, KBBM dan PJM Peringkat Terengganu yang diadakan pada 2020 telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1.45 juta melibatkan 40 usahawan dan satu pempamer, manakala Program Citarasa Keluarga Malaysia Peringkat Terengganu pada tahun ini meraih jualan bernilai RM29,106, dengan melibatkan 16 usahawan.

“Kementerian sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan bagi mengadakan program seperti KBBM. Ini menunjukkan kita sentiasa memberi peluang kepada usahawan mengetengahkan produk mereka melalui program-program tersebut tanpa dikenakan bayaran. Kita juga ingin menggalakkan semula perniagaan domestik yang terjejas akibat Covid-19,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!