Pembonceng maut, penunggang parah dilanggar lori

Keadaan motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran susur keluar jejambat Lebuh Raya Kajang- Seremban (Lekas) menghala ke Paroi pada malam Khamis. - Foto Bomba Negeri Sembilan
Keadaan motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran susur keluar jejambat Lebuh Raya Kajang- Seremban (Lekas) menghala ke Paroi pada malam Khamis. - Foto Bomba Negeri Sembilan
A
A
A

SEREMBAN - Pembonceng maut manakala penunggang cedera parah selepas motosikal mereka dilanggar sebuah lori di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran susur keluar jejambat Lebuhraya Kajang- Seremban (Lekas) menghala ke Paroi pada malam Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata, individu yang maut merupakan pembonceng wanita warga Indonesia berusia lingkungan 40-an.

"Siasatan lanjut mendapati kemalangan kira-kira jam 11 malam itu berlaku apabila sebuah lori 50 tan tanpa muatan jenis Hanvan yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 43 tahun sedang bergerak di lorong kiri dari arah Juasseh menuju ke Seremban.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, datang sebuah motosikal jenis Honda Dash yang ditunggang seorang lelaki berumur 66 tahun bersama seorang pembonceng dari arah kiri telah menuruni susur jejambat lalu memasuki laluan di hadapan lori," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan pemandu lori tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal yang ditunggang mangsa.

"Penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian badan manakala pembonceng yang mengalami kecederaan di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi.

"Mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang mengalami kecederaan menerima rawatan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel Berkaitan: