Bursa Malaysia rendah pada awal dagangan

FTSE Bursa Malaysia KLCI yang menjadi penanda aras susut 1.20 mata kepada 1,516.40 daripada 1,517.60 ketika ditutup pada Khamis. - Foto Bernama
FTSE Bursa Malaysia KLCI yang menjadi penanda aras susut 1.20 mata kepada 1,516.40 daripada 1,517.60 ketika ditutup pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia terus mengalami aliran rendah semasa awal dagangan pada Jumaat dengan pelaporan korporat masih dilaksanakan, tanpa sebarang pemangkin baharu untuk menambah baik sentimen pasaran.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras susut 1.20 mata kepada 1,516.40 daripada 1,517.60 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks itu dibuka 0.57 mata lebih tinggi kepada 1,518.44.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 240 berbanding 114, manakala 229 kaunter tidak berubah, 1,729 kaunter tidak diniagakan dan 38 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 168.48 juta unit bernilai RM72.22 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pihaknya yakin aktiviti dagangan yang rendah mungkin disebabkan peningkatan kes Covid-19 di peringkat tempatan dan pelaporan prestasi korporat yang kurang memberangsangkan berbanding jangkaan ekoran kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh pada suku ketiga 2021.

Pasaran mungkin tidak banyak berubah sehingga akhir bulan, sebelum pelaksanaan aktiviti memperelok akaun pada Disember, jelas firma pembrokeran itu.

“Memandangkan kita masih berada dalam fasa mengikut Pelan Pemulihan Negara, kaunter bertemakan pemulihan mungkin meningkat seiring dengan pembukaan lorong perjalanan bagi yang telah divaksin pada minggu depan namun kebimbangan berhubung Covid-19 (dengan kes harian melebihi 6,000) dijangka mengehadkan potensi peningkatan,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, Malaysia merekodkan 6,144 kes jangkitan baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2.61 juta kes.

Antara saham wajaran tinggi, TNB melonjak sembilan sen kepada RM9.47 manakala Public Bank, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare kekal pada RM4.02, RM8.44 dan RM6.67 sementara Maybank susut satu sen kepada RM8.10 dan CIMB turun lima sen kepada RM5.12

Bagi saham aktif, Solution Group meningkat 4.5 sen kepada 56.5 sen, Tanco tidak berubah pada 27 sen, ATA IMS merosot 30 sen kepada 52 sen, G3 Global kurang 1.5 sen kepada 11.5 sen, MMAG Holdings susut satu sen kepada sembilan sen dan Luster Industri turun setengah sen kepada 12 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 3.16 mata kepada 12,110.97; Indeks FBM Emas turun 5.82 mata kepada 11,153.75; Indeks FBMT 100 kurang 6.71 mata kepada 10,818.66; FBM 70 menguncup 1.61 mata kepada 14,633.86 dan FBM ACE susut 25.21 mata kepada 6,627.09.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.57 mata kepada 198.82, Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 30.68 mata kepada 15,198.84 dan Indeks Perladangan susut 26.41 mata kepada 6,552.77. - Bernama