Malaysia kaji kesan pemindahan ibu negara Indonesia

Maximus Ongkili
Maximus Ongkili
A
A
A

KOTA KINABALU - Malaysia telah menubuhkan pasukan petugas bersama bagi merancang dan memantau pembangunan sempadan Sabah dan Sarawak selaras dengan rancangan Indonesia untuk memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, pasukan petugas itu ditubuhkan bersama pihaknya iaitu Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) dan Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

Beliau berkata, pasukan dipengerusikannya bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed itu juga akan meneliti aspek lain seperti pelancongan, pertukaran budaya, pendidikan dan pelancongan kesihatan selain aspek pembangunan infrastruktur.

“Kami juga akan melihat isu berkaitan keselamatan di sempadan dan penubuhan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di semua pintu masuk di antara kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ongkili berkata, pasukan petugas itu wujud selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan wakil rakyat membangkitkan isu serta kebimbangan mereka mengenai cadangan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan dari Jakarta.

"Kami sedang merangka kertas kerja mengenai isu itu dan akan bertemu semula pertengahan bulan hadapan sebagai persediaan untuk mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963.

“Kedua-dua ketua menteri Sabah dan Sarawak akan terlibat sama dalam merangka strategi pembangunan sempadan jangka panjang," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: