Pelajar perempuan berjaya lepaskan diri selepas dilarikan

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pelajar perempuan berjaya melepaskan diri selepas dipercayai dilarikan seorang lelaki menaiki kereta jenis Perodua Kancil di hadapan sekolahnya di Taman Molek, Johor Jaya di sini pada pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak yang mengesahkan polis menerima laporan mengenai kejadian melarikan orang yang tular di media sosial itu berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 6.50 pagi semasa pelajar berumur 13 tahun itu baru turun dari van sekolah.

“Pelajar itu menyatakan selepas turun daripada van, sebuah kereta dipandu lelaki tempatan tidak dikenali, datang kepadanya serta meminta dia menghantar satu borang ke sekolah, dan lelaki itu meminta pelajar berkenaan masuk ke dalam kereta, namun dia enggan.

“Kemudian mangsa ditarik masuk ke dalam kereta dan dibawa lari di sekitar Taman Molek kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian, sebelum pelajar itu berjaya melepaskan diri,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, pelajar itu kemudiannya meminta bantuan orang awam, dan polis sedang giat berusaha mengesan lelaki berkenaan.

Mohd Sohaimi berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melarikan orang. - Bernama

Artikel Berkaitan: