Kampung tradisi, kampung orang asli sebagai produk pelancongan

Sharifah Azizah
Sharifah Azizah
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - [DIKEMASKINI] Kawasan tarikan pelancong di sekitar Bandar Penawar, dekat Kota Tinggi, boleh diperluaskan dengan memasukkan kampung tradisi dan kampung orang asli di bahagian barat kawasan itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Khamis diberitahu.

Menjelaskan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, kedua-dua kampung berkenaan dilihat berpotensi menjadi produk pelancongan baharu, sekali gus mengimbangi pembangunan yang selama ini tertumpu di kawasan timur, Desaru yang terkenal dengan kawasan pantai.

"Kampung tradisi iaitu Tanjung Buai dan Kampung Orang Asli Sungai Layau 2 juga mempunyai khazanah istimewa dengan ekosistem semula jadi Sungai Johor yang indah. Ia amat sesuai dibangunkan sebagai ekopelancongan, seterusnya menjadi produk pelancongan yang lebih lengkap dan menyeluruh,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan Johor 2022 pada Persidangan DUN Johor di sini pada Khamis.

Sharifah Azizah (BN-Penawar) berkata, di Kampung Orang Asli Sungai Layau 2 contohnya mempunyai Muzium Orang Asli yang boleh menarik minat pengunjung tempatan dan antarabangsa untuk mengetahui lebih lanjut mengenai budaya hidup masyarakat tersebut.

"Apatah lagi ia terletak berhadapan Sungai Johor yang indah, dengan kerajaan negeri diharap dapat membina lebih banyak prasarana termasuk rumah rakit bagi memberi peluang pengunjung menghayati ekopelancongan di kawasan itu.

"Gerai perniagaan juga perlu dibina bagi membolehkan penduduk tempatan memasarkan hasil tempatan termasuk makanan dan cenderamata sekali gus boleh dimasukkan dalam kalender pelancongan negeri," katanya.

Sharifah Azizah berkata, dengan perluasan kawasan pelancongan itu, ia dijangka memanfaatkan serta memberi peluang kepada penduduk setempat meraih pendapatan sampingan. - Bernama

Artikel Berkaitan: